SUKAN > BERITA

KBS Hargai Usaha Sarawak Anjur SUKMA Dengan Kualiti Terbaik

17/08/2024 02:44 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan menghargai usaha kerajaan Sarawak yang komited menganjurkan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berkualiti tinggi.

 Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata tuan rumah telah membuat persiapan mencukupi selain memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.

“… nampak kualiti penganjuran (Sarawak) yang sangat baik dengan persediaan mencukupi dan hebahan sangat meluas. Setiap acara boleh ditonton menerusi platform seperti RTMKlik, TV Sarawak dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat Pusat Operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi SUKMA 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini hari ini. 

Ketibaan beliau disambut Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Editor Eksekutif (Perkhidmatan Berita) Elmi Rizal Elias. 

Mengulas mengenai Sarawak yang bersetuju untuk menjadi hos sebahagian daripada acara Sukan SEA 2027, Adam Adli berkata ia masih terlalu awal untuk dibincangkan namun menghargai komitmen negeri Bumi Kenyalang itu.

Sementara itu, Nur-ul Afida berkata Bernama sentiasa komited menyediakan laporan berita secara menyeluruh dan agensi berkenaan telah menggerakkan kira-kira 50 petugas bagi membuat liputan.

“Alhamdulillah, untuk SUKMA di Sarawak, kita (Bernama) telah dapat menunjukkan sokongan dan komitmen untuk membantu dari segi promosi dan publisiti.

“Kita telah bermula lebih awal di sekitar Kuching (dan) telah menugaskan wartawan, jurugambar serta jurukamera ke Seri Aman, Miri dan Sibu. Ada beberapa acara di Mukah dan kita juga akan membuat liputan,” katanya. 

SUKMA 2024 yang dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak hingga 24 Ogos membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran.

Ikuti liputan komprehensif menerusi laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan itu.

Laman web dwibahasa itu juga memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA yang memasuki edisi ke-21.

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan