SUKAN > BERITA

Habuan RM60,000 Menanti Pemenang Emas Sukan Paralimpik 2024 - Megat D Shahriman

21/08/2024 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Ganjaran wang tunai berjumlah RM60,000 seorang bakal menanti atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas buat negara pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata habuan itu merupakan insentif diberikan oleh tiga syarikat luar bagi meningkatkan motivasi atlet negara memburu emas pada Paris 2024.

“Setiap satu daripada tiga syarikat itu akan beri RM20,000 seorang kepada pemenang emas di Paris, perak RM10,000 dan gangsa RM5,000. 

“Habuan ini hanyalah tambahan kepada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dan bakal ada penaja kami yang umumkan ganjaran sekiranya mereka capai kejayaan di Paris nanti,” katanya kepada pemberita pada kem fasa akhir kontinjen negara ke Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini hari ini.

Berdasarkan imbuhan SHAKAM, pemenang emas di Sukan Olimpik atau Paralimpik bakal menerima imbuhan RM1 juta, manakala perak RM300,000 dan gangsa RM100,000 selain tambahan sekiranya memecahkan rekod temasya atau dunia.

Megat D Shahriman pada masa sama juga sedang berbincang dengan syarikat yang mungkin boleh menawarkan hadiah kereta kepada pemenang emas di Sukan Paralimpik 2024.

Di sebalik ganjaran menanti, beliau mengingatkan atlet agar tidak memikirkan soal itu sebaliknya fokus untuk mengharumkan nama negara di Paris.

Beliau berkata MPM sentiasa bertanggungjawab bagi memastikan mereka dan atlet dapat mencapai kejayaan membanggakan buat negara pada Sukan Paralimpik sekali gus menyaksikan dana awam dilabur benar-benar berbaloi.

“Jika tak berjaya, lebih baik duit (dana awam) digunakan untuk bina hospital atau sekolah, saya tak nak bazirkan duit rakyat dan disebabkan itu saya rasakan sesetengah netizen berasa sensitif kerana mereka pembayar cukai.

“Dana awam harus digunakan sebaik mungkin, akauntabiliti bukan pada kita sahaja, malah kami terapkan pada atlet. Ini bukan mengenai bercuti dan bukannya pertandingan yang kecil, tetapi ini ialah Paris 2024, jadi buktikan diri anda,” katanya.

Sementara itu, Megat D Shahriman menjangkakan kejutan juga mungkin boleh berlaku dari beberapa sukan setelah mengambil kira persiapan mantap dijalani atlet menjelang Paris 2024.

Malaysia menghantar seramai 30 atlet dari lapan jenis sukan pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos-8 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan