SUKAN > BERITA

Juara Piala FA Beri Keyakinan Kepada Pemain JDT Hadapi ACLE - Bergson

25/08/2024 03:09 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kejuaraan Piala FA 2024 memberikan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) keyakinan yang lebih baik pada ketika mereka menghadapi cabaran Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2024/25 pada September, kata Bergson Da Silva.

Pemain tengah Harimau Selatan berkata kemenangan 6-1 ke atas Selangor semalam, membuktikan bahawa pasukan itu mampu memberikan cabaran pada ACLE, yang menjanjikan perlawanan lebih sukar untuk JDT.

“Ya (ia satu permulaan yang baik untuk ACLE). Kami tahu bagaimana sukarnya permaian akan datang dengan lawan yang sukar. Tetapi setiap tahun apabila kami mengenakan jersi kami, dalam pertandingan, kami pastikan akan ada lebih peluang untuk ditunjukkan,” katanya pada temuramah selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Semalam, Harimau Selatan menewaskan Selangor FC 6-1 menerusi jaringan hatrik Juan Muniz dan juga gol jaringan Arif Aiman ​​Mohd Hanapi, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes, manakala gol tunggal Red Giants menerusi Alvin Fortes.

Mengulas perlawanan malam tadi, Bergson berkata walaupun JDT menang, beliau akui ia bukan satu perlawanan yang mudah, kerana pasukannya perlu bermain dengan bersungguh-sungguh pada sepanjang 90 minit.

“Saya rasa ia mula menjadi mudah pada pertengahan perlawanan. Kami asak mereka setiap masa …Sentiasa mana kami pergi, mereka ikut, dan kemudian mereka gesa kami untuk pertingkatkan permainan pada pertengahan perlawanan,” katanya.

Berdasarkan kepada undian, Harimau Selatan akan bertemu Juara Liga K1 Korea Selatan Ulsan Hd FC, yang kini di bawah bimbingan bekas pengendali Harimau Selatan Kim Pan Gon pada ACLE yang dijadualkan berlangsung dari 16 Sept hingga 19 Feb 2025.

Selain Ulsan HD FC, JDT juga akan berhadapan Juara Liga 1 Thai Buriram United, Pohang Steelers (Korea Selatan), Shanghai Shenhua FC (China), Shanghai Port FC, Juara Liga A-League Men Australia Central Coast Mariners FC dan Gwangju FC (Korea Selatan).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan