SUKAN > BERITA

AWCL: Sabah Seri Tanpa Jaringan Menentang APF FC

28/08/2024 11:01 PM

KOTA KINABALU, 28 Ogos (Bernama) -- Sabah FA memulakan kempen peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) dengan mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan menentang APF FC dari Nepal pada perlawanan Kumpulan C di Stadium Likas di sini malam ini.

Bermula babak pertama permainan kedua-dua pasukan agak seimbang dan masing-masing cuba mengatur serangan namun gagal menghasilkan gol.

Pada minit ke-11 pasukan APF FC hampir mendapat jaringan pertama hasil rembatan kencang penyarangnya Preeti Rai dari luar kotak penalti namun bola terkena palang walaupun sudah berjaya menewaskan penjaga gol Sabah FA Nurul Azurin Mazlan.

Bermula babak kedua pasukan tuan rumah kendalian Justin Ganai bermain dengan lebih baik dan beberapa kali menghasilkan percubaan berbahaya namun gagal membolosi penjaga gol APF FC Anjila Tumbapo Subba.

Pada minit ke-74 sekali lagi palang gol menjadi penyelamat pasukan Sabah FA dengan rembatan kencang penyerang gantian APF FC Amisha Karki di dalam kotak penalti dan keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat permainan.

Perlawanan terakhir Kumpulan C pada Sabtu ini menyaksikan tuan rumah Sabah FA menentang PFC Nasaf dari Uzbekistan.

Pada perlawanan pertama Isnin lepas, PFC Nasaf yang kini mendahului kumpulan itu menewaskan APF FC dengan jaringan 1-0.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan