SUKAN > BERITA

Allianz Malaysia Dan MSN Terus Perkasakan Program Pembangunan Atlet Para Negara

29/08/2024 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini mengumumkan lanjutan kontrak penajaan untuk tempoh empat tahun bersama Allianz Malaysia Berhad bagi membantu membiayai program latihan atlet-atlet para negara daripada 2025 sehingga 2028.

Kontrak baharu ini menyaksikan Allianz dilantik sebagai rakan strategik dan penaja utama program atlet-atlet para, termasuk bagi temasya sukan utama seperti Sukan Para ASEAN 2025 dan 2027, Sukan Para Asia 2026 serta Sukan Paralimpik 2028.

Perjanjian itu juga bakal menyaksikan Allianz Malaysia menjadi penaja utama kepada sirkit pertandingan para selain membolehkan syarikat berkenaan meneruskan inisiatif program ‘Allianz MoveForward’ dalam memberikan bantuan dan sokongan untuk atlet yang mahu mencari laluan kerjaya baharu selepas bersara daripada menjadi atlet kebangsaan.

Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub berkata pihaknya amat gembira dengan lanjutan kontrak penajaan itu yang dilihat akan menyumbang kepada pembiayaan kos latihan dan persiapan atlet para untuk beberapa temasya sukan utama dunia akan datang.

“Bagi pihak MSN dan barisan atlet para negara, kami amat berterima kasih kepada pengurusan dan semua warga kerja Allianz Malaysia Berhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Sean Wang berkata lanjutan kontrak itu adalah bukti keyakinan Allianz Malaysia terhadap atlet-atlet para negara.

“Allianz Malaysia amat gembira dengan pengumuman lanjutan kontrak penajaan bersama MSN ini. Atlet-atlet para Malaysia telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa dan kami yakin mereka mampu mengibarkan Jalur Gemilang dengan megahnya di Sukan Paralimpik Paris 2024 nanti.

“Kami juga yakin dengan pengumuman lanjutan penajaan ini akan menyemarakkan lagi semangat juara semua para atlet kita semasa bertanding nanti. Allianz akan terus menyokong anda dan juga memberikan perlindungan insurans perjalanan kepada semua kontinjen para Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan