SUKAN > BERITA

Paralimpik Paris: Liek Hou Bermula Cemerlang, Muhammad Fareez Kejutkan Jen-Yu

29/08/2024 09:45 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 29 Ogos (Bernama) -- Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou memulakan misi mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki SU5 (cacat fizikal) dengan cemerlang pada hari pertama Sukan Paralimpik Paris 2024, di sini hari ini.

Dalam aksi Kumpulan A yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, pemain nombor satu dunia dan pilihan utama itu terbukti terlalu tangkas untuk ditangani pemain Poland Bartlomiej Mroz dengan kemenangan 21-10, 21-6 dalam masa 26 minit.

Sementara itu, seorang lagi pemain Malaysia Muhammad Fareez Anuar yang bermain dalam kategori sama, membuat penampilan pertama yang hebat apabila dia mengejutkan pilihan kedua dari Taiwan Fang Jen-Yu (TPE) 21-14, 21- 18 dalam perlawanan Kumpulan B.

Dalam pada itu, jurulatih mereka Nova Armada gembira melihat kedua-dua anak buahnya bermain dengan baik hari ini.

Walaupun dia telah menjangkakan Liek Hou akan memenangi perlawanan menentang Mroz, jurulatih dari Indonesia itu gembira melihat pemain bukan pilihan Muhammad Fareez mengejutkan Jen-Yu.

Beliau berkata pemain berusia 28 tahun itu mempunyai rekod buruk menentang pemain Taiwan itu, tewas enam kali dalam lapan perlawanan sebelum ini.

“Kemenangan Muhammad Fareez diharapkan mampu bina keyakinannya kerana dia berada dalam kumpulan kuat bersama pemain nombor tiga dunia Dheva Anrimusthi dari Indonesia,” kata beliau kepada Bernama.

Muhammad Fareez yang kini berada di kedudukan keempat terbaik juga diundi menentang Taiyo Imai dari Jepun dalam Kumpulan B.

Dua pemain teratas dari setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Sementara itu, kisah yang berbeza berlaku kepada dua lagi wakil Malaysia, Mohd Amin Burhanuddin dan beregu lelaki Noor Azwan Noorlan dan Muhammad Ikhwan Ramli.

Kedua-dua wakil negara  tewas dalam perlawanan peringkat kumpulan masing-masing selepas pada mulanya mendahului di set pertama tetapi kemudian goyah dalam dua set berikutnya.

Mohd Amin, yang beraksi dalam acara perseorangan lelaki SL4 (kecacatan fizikal), mengalami kekalahan 17-21, 21-15, 22-20 di tangan pemain India, Sukant Kadam dalam perlawanan Kumpulan B.

Pasangan Noor Azwan-Muhammad Ikhwan, yang bertanding dalam acara beregu lelaki WH1-2 (kecacatan fizikal), tewas kepada pasangan Jepun Daiki Kajiwara-Hiroshi Murayama 17-21, 21-13, 21-16 dalam pertemuan Kumpulan B.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan