SUKAN > BERITA

Masa Untuk Mickey Kembali Bersama Harimau Malaya Semakin Hampir

29/08/2024 09:44 PM

PETALING JAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Pemain sayap kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim memberi bayangan masa untuknya kembali menyarung jersi skuad Harimau Malaya semakin hampir.

Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim turut mengharapkan doa dari semua kerana beliau sudah tidak sabar untuk beraksi semula bersama pasukan negara.

“Saya sedih sebab tak dapat bersama pasukan, saat ini saya dah lalui banyak tahun, ini lah tempat saya berjuang untuk pasukan kebangsaan dengan rakan-rakan dan jurulatih, tapi hari ini saya datang sebagai tetamu melihat kawan-kawan saya berlatih.

“Saya rasa tak lama lagi saya akan kembali, saya harap semua dapat doakaan saya, saya tak sabar untuk kembali,” katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya di sini hari ini.

Terdahulu, Faisal yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ melakukan kejutan apabila hadir menyaksikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di sini menjelang saingan Pestabola Merdeka 2024 bulan depan.

Kehadiran beliau disambut Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin bersama dua timbalannya Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram serta ketua jurulatih Harimau Malaya Pau Marti Vicente.

Mickey dilihat sempat bersalaman dan bertukar khabar dengan kesemua pemain sebelum bergambar kenangan sempena kali pertama beliau menjejakkan kaki di sini sejak insiden menjadi mangsa simbahan asid.

“Saya datang hari ini sebab Datuk (Hamidin) telefon saya semalam untuk datang sebagai semangat kepada rakan-rakan dan saya pun rindu saat ini. Saya pun dah jumpa jurulatih Pau minggu lepas dan dia dah beritahu saya bahawa dia tidak menekan saya untuk menyertai pasukan tetapi apabila saya sudah bersedia, sudah tentu dia akan panggil. 

“Jurulatih Pau beri ruang untuk saya capai prestasi saya, sudah tentu sebagai pemain saya akan bantu beliau dalam kejohanan akan datang. Saya dah dengan jurulatih Pau hampir dua tahun, saya tahu segalanya apa yang dia nak dan sekiranya saya dah bersedia saya akan beri yang terbaik untuk pasukan, jurulatih dan FAM,” katanya.

Pada 5 Mei lepas Faisal Halim mengalami kulit melecur tahap empat di beberapa bahagian badannya selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Beliau kemudian membuat penampilan pertamanya selepas insiden itu pada 16 Jun dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC bagi kempen Piala FA dan baru-baru ini beraksi selama 45 minit pertama pada aksi Piala Sultan Selangor (TSSC) 2024 membabitkan pasukan Selangor dan Singapura.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan