SUKAN > BERITA

Paris 2024: Yusof Hafizi, Muhammad Adi Raimie Kempunan Ke Final

31/08/2024 06:29 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 31 Ogos (Bernama) -- Jaguh berbasikal paralimpik negara Mohamad Yusof Hafizi dan rakan sepasukannya Muhammad Adi Raimie Amizazahan terkandas lagi di peringkat kelayakan, kali ini dalam acara 1,000 meter (m) ujian masa lelaki C1-3 (kecatatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Yusof Hafizi melintasi garisan penamat dengan berada di kedudukan kelapan secara keseluruhan menerusi catatan 1 minit 09.487 saat (s), manakala Muhammad Adi Raimie yang merekodkan 1:13.780s di kedudukan ke-11 pada saingan di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines, kira-kira setengah jam perjalanan dari sini.

Pelumba China Li Zhangyu mendominasi acara tersebut dengan catatan 1:03.777s. Hanya enam pelumba teratas dalam pusingan kelayakan mara ke final.

Ketua jurulatih skuad berbasikal para negara Johari Mohd Nayan, bagaimanapun tetap berpuas hati dengan kayuhan Yusof Hafizi apabila beliau secara keseluruhannya mengekalkan ranking ketiga terbaik dalam kelasnya sahaja, sekali gus menyamai pencapaian ketika meraih gangsa 1,000m ujian masa lelaki C1 pada Kejohanan Dunia di Brazil, pada Mac.

“Bagi saya persembahan keseluruhan kedua-dua pelumba okay dan tiada masalah hari ini, cuma saya harap Muhammad Adi Raimie akan cuba mengejar kedudukan kelompok ke-20 terbaik dalam perlumbaan lebuh raya lelaki C1-3 pada 7 Sept ini, kerana peluangnya baik berbanding Yusof Hafizi,” katanya kepada Bernama.

Beliau pada masa mahu melihat Yusof Hafizi melengkapkan kayuhan pada acara perlumbaan lebuh raya dijadual berlangsung 7 Sept ini, selepas tidak berjaya berbuat demikian ketika penampilan sulung di Tokyo 2020.

Khamis lepas, atlet kelahiran Kuala Kangsar itu tidak berjaya ke peringkat akhir acara 3,000m kejar-mengejar individu lelaki C1, apabila menduduki tempat kelima daripada tujuh pelumba secara keseluruhan dengan catatan 3:55.254 saat (s).

Semalam, Muhammad Adi Raimie juga terlepas peluang ke final selepas berada di tempat terakhir pusingan kelayakan acara 3,000m kejar-mengejar individu lelaki C3, menerusi catatan 3:47.922s.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan