SUKAN > BERITA

Tiga Pemain Hoki Wanita Pikat Kelab Hoki Scotland

31/08/2024 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Prestasi cemerlang tiga pemain wanita kebangsaan berjaya memikat Kelab Hoki Uddingston untuk menawarkan mereka beraksi dalam saingan Liga Hoki Premier Scotland 2024 bermula 15 Sept hingga 16 Nov depan.

Tiga pemain itu Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin, Nurul Fatin Fatiah Azman dan Nur Afiqah Syahzani Azhar akan berlepas ke Scotland esok.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka akan kembali ke Malaysia lebih awal pada 3 Nov bagi membantu pasukan kebangsaan yang dijadual bersaing dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2024, November ini.

Jurulatih skuad wanita kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim berkata aksi cemerlang mereka ketika siri Jelajah Cardiff itu berjaya menarik minat jurulatih kelab hoki Uddingston yang turut berada di Cardiff bagi menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Wales.

"Kami di barisan kejurulatihan wanita kebangsaan berharap mereka akan menggunakan peluang keemasan ini dengan sebaiknya bagi membantu meningkatkan lagi tahap permainan masing-masing selain mengutip seberapa banyak pengalaman berguna beraksi bersama pemain Eropah.

"Pasukan hoki wanita Scotland antara pasukan yang terkuat di Eropah dan tentunya semua ilmu yang akan mereka bawa pulang ke Malaysia nanti sangat berguna untuk dikongsikan bersama rakan sepasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nasihin beliau percaya pengalaman mereka itu akan memberikan impak positif untuk pasukan kerana tempo permainan dan tahap hoki pasukan di Eropah amat tinggi.

“Harapan kami tentunya mahukan mereka menterjemahkan semua ilmu yang mereka peroleh bersama pasukan kebangsaan," katanya

Untuk rekod, ini bukan kali pertama pemain wanita kebangsaan berjaya menambat hati jurulatih luar negara untuk beraksi di liga mereka. 

Sebelum ini, pemain kebangsaan seperti Farah Ayuni Yahya, Nuraini Abdul Rashid, Fatin Shafika Mohd Sukri, Wan Norfaiezah Md Saiuti, Hanis Nadiah Onn, Julaini Mohamad Din, Nuramirah Shakirah Zulkifli dan Nur Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad pernah beraksi di liga antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan