SUKAN > BERITA

Prestasi Sabah Layak Ke AWCL Buka Lembaran Baharu Bola Sepak Wanita Negara - FAM

01/09/2024 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Skuad bola sepak wanita Sabah yang melakar sejarah meraih slot ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2024/25 membuka lembaran baharu arena bola sepak wanita negara. 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan menyebut prestasi itu juga dapat memberi inspirasi kepada pemain bola sepak wanita negara untuk lebih menyinar di peringkat antarabangsa. 

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sabah FA atas kejayaan skuad bola sepak wanita Sabah melayakkan diri ke AWCL 2024/25,” menurut kenyataan itu. 

Sabah meraih slot ke peringkat kumpulan AWCL apabila muncul juara Kumpulan C pada saingan peringkat awal kejohanan itu dengan mengutip empat mata daripada tiga perlawanan.

Sabah mengutip tiga mata penting malam tadi apabila menewaskan PFC Nasaf dari Uzbekistan dengan jaringan 2-1 di Stadium Likas, manakala satu lagi mata diraih setelah seri tanpa jaringan dengan APF FC (Nepal) pada Khamis lepas.

Dalam pada itu, FAM memaklumkan skuad kendalian Justin Ganai itu diundi dalam Kumpulan A bersama Wuhan Jiangda Women's FC (China), Hyundai Steel Red Angels (Korea Selatan) dan Abu Dhabi Country Club (UAE) pada aksi peringkat kumpulan yang akan berlangsung dari 6 hingga 12 Okt ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan