SUKAN > BERITA

Korea Selatan Uji Speedy Tigers Sebelum ACT 2024

02/09/2024 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Skuad hoki kebangsaan akan mengadakan perlawanan pemanas badan menentang Korea Selatan, menjelang kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulubuir, Inner Mongolia, China pada 8 hingga 17 Sept ini.

Ketua jurulatih Speedy Tigers Sarjit Singh berkata perlawanan persahabatan yang dijadual pada 4 Sept ini bertujuan mencipta momentum pemain menjelang aksi sebenar ACT 2024.

“Apa yang penting kita perlu sentiasa menjadi lebih baik dan tidak melakukan kesilapan sama berulang kali,” katanya kepada Bernama hari ini.

Malaysia akan memulakan kempen ACT 2024 menentang Pakistan pada 8 Sept, diikuti China (9 Sept), juara bertahan India (11 Sept), Jepun (12 Sept) dan Korea Selatan (14 Sept) dalam saingan mengikut format liga sepusingan.

Sementara itu, Sarjit berkata Malaysia bakal berdepan dua halangan sukar dalam memburu tempat di separuh akhir apabila berdepan India dan Pakistan, selain tidak menafikan keupayaan China.

Bagaimanapun, beliau yakin anak buahnya mampu menempatkan diri dalam empat pasukan terbaik sekali gus beraksi dalam saingan separuh akhir.

“Bila kita mendahului, kita perlu bersatu untuk buat keputusan bijak dalam setiap langkah kita.

“Bila dalam kawasan D, kita tidak boleh sekadar melakukan serangan tapi perlu juga bijak membuat keputusan sebelum menjaringan gol,” katanya.

Skuad Speedy Tigers dijadual berlepas ke wilayah autonomi China itu esok. 

Pada edisi 2023 di Chennai India, Speedy Tigers muncul naib juara selepas tewas tipis 3-4 kepada India.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan