SUKAN > BERITA

Kar Gee Mahu Perbaiki Pecutan, Kelajuan

02/09/2024 07:31 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 2 Sept (Bernama) -- Daya pecutan kurang menjadi faktor utama Wong Kar Gee terlepas kedudukan podium acara lompat jauh lelaki T12 (kecacatan penglihatan) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Kar Gee memperoleh tempat keempat acara tersebut dengan catatan terbaik 6.85 meter pada hari keempat saingan olahraga di Stade de France.

Atlet berusia 33 tahun itu percaya lompatannya mungkin akan menjadi lebih baik sekiranya mempunyai kelajuan diperlukan bagi menjamin sekurang-kurangnya gangsa, sebelum dipintas pada percubaan terakhir oleh Fernando Vazquez  dari Argentina yang melakukan 6.88m.

“Saya punya kelajuan pun kurang dan tidak berada dalam prestasi terbaik hari ini. Ketika latihan saya ada kelajuan namun hari ini tidak tahu mengapa kurang kelajuan. 

“Memang kecewa tidak dapat gangsa. Ada orang cakap nombor empat ialah kedudukan terburuk tetapi bagi saya ia menaikkan semangat saya untuk lebih kuat berlatih," katanya selepas aksinya di sini, hari ini.

Emas menjadi milik Said Najafzade dari Azerbaijan dengan 7.27m dan Donior Saliyev dari Uzbekistan (7.16m) meraih perak.

Keputusan hari ini menyaksikan Kar Gee membaiki prestasinya selepas menduduki tempat keenam acara lompat jauh T13 (kecacatan penglihatan) dengan catatan 5.93m pada penampilan sulung di Tokyo 2020.

Catatan terbaik atlet dari Sabah itu ialah 7.22m yang dilakukannya ketika Terbuka China 2018 dan beliau berharap untuk kembali menyinar pada Sukan Para Asia 2026 di Jepun. 

Meskipun umurnya kian meningkat, beliau memberikan bayangan bahawa Paris 2024 bukanlah  penampilan terakhirnya di pentas Paralimpik dan mahu terus berjuang pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.

“Saya rasa masih boleh (Sukan Paralimpik 2028). Jika boleh perform, kenapa tidak teruskan,” kata pemenang perak Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Emiriah Arab Bersatu itu.

Berasal dari Kota Kinabalu, Kar Gee menghidap penyakit Stargardt sejak lahir sebelum penglihatannya bertambah lemah ketika berusia lapan tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan