SUKAN > BERITA

JGE2024 Satukan Amatur, Profesional Dan Pemain Industri Golf

02/09/2024 08:39 PM

ISKANDAR PUTERI, 2 Sept (Bernama) -- Ekspo Golf Johor 2024 (JGE2024) membuka peluang kepada lebih 600 pemain amatur untuk bertanding bersama pemain profesional dalam kejohanan yang dianjurkan di Senibong Golf Club pada 18 Okt ini. 

Kejohanan yang diadakan sempena JGE2024 akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi Johor dan kedudukan negeri itu sebagai destinasi utama bagi penggiat golf, terdiri daripada profesional dan ahli perniagaan, pelancong dan pengembara, keluarga dan kumpulan sosial serta orang awam.

Champions Golf, dengan kerjasama KPRJ Sports Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, merupakan penganjur bersama JGE2024.

Pengarah Urusan Champions Golf Matthew A. Murry berkata kejohanan itu yang menyasarkan pemain tempatan dan antarabangsa menawarkan hadiah berjumlah RM14,000 bagi amatur dan RM40,000 bagi profesional. 

Selain pertandingan golf, ekspo berkenaan juga bertujuan meraikan sejarah sukan itu dengan mengumpulkan pihak berkepentingan termasuk pengeluar peralatan golf, peruncit, pemilik padang golf, penyedia perjalanan, perkhidmatan latihan, inovator teknologi dan persatuan golf.

"JGE 2024 bakal menjadi acara penting bagi pencinta golf dan menekankan keupayaan golf dalam menyatukan orang ramai merentasi budaya dan generasi," katanya pada majlis pelancaran JGE2024 di pejabat Kumpulan KPRJ pada Sabtu.

Beliau berkata menerusi sokongan KPRJ, syarikat itu mahu menarik pemain antarabangsa, meningkatkan tahap pertandingan dan memperluas daya tarikan kejohanan selain menawarkan pelbagai aktiviti sepanjang dua bulan ekspo tersebut, untuk terus mempromosi Johor sebagai destinasi golf utama.  

"Kami sangat teruja untuk mengalu-alukan kehadiran pemain golf dari seluruh Asia dan Timur Tengah bagi merasai pengalaman bermain golf di Johor, di sebuah negara yang kaya budaya dan hospitaliti," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ Datuk Lukman Abu Bakar berkata kerjasama itu merupakan antara usaha untuk merangsang sektor pelancongan dan ekonomi Johor.

"KPRJ komited untuk memajukan pembangunan sukan di Johor dengan mempromosikan golf sebagai gaya hidup. Kerjasama dengan Champions Golf bukan sahaja menyasarkan pada menaikkan nama sukan ini, tetapi juga untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mempromosikan pelancongan di negeri ini," katanya.

JGE2024 komited untuk meningkatkan minat terhadap sukan itu di samping turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Johor dengan lebih 70 pempamer, termasuk usahawan tempatan yang akan mempamerkan inovasi terkini dalam golf, sukan dan produk rekreasi.

Aktiviti memancing, berjalan, berbasikal, footgolf dan festival muzik akan turut dianjurkan.

Dari segi ekonomi, industri golf Malaysia mengalami pertumbuhan memberangsangkan, dipacu oleh pelancongan, pelaburan dan minat tempatan yang semakin meningkat dan tahun lepas, industri golf menyumbang RM286 juta kepada ekonomi, melebihi ramalan awal RM249.5 juta.

"Pertumbuhan ini ialah bukti kepada usaha kami dalam memupuk budaya bermain golf di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan