SUKAN > BERITA

Banyak Pilihan Penyerang Diharap Pacu Kemenangan Malaysia

02/09/2024 09:47 PM

PETALING JAYA, 2 Sept (Bernama) -- Penyerang skuad Harimau Malaya Darren Lok berharap kelebihan mempunyai banyak pilihan penyerang dapat memacu Malaysia meraih keputusan positif pada saingan Pestabola Merdeka 2024, bermula Rabu ini.

Ia dalam masa sama memberikan suntikan buat Pau Marti Vicente untuk memburu kemenangan sulung selaku ketua jurulatih baharu dengan perhitungan berdepan Filipina sebagai ujian pertamanya.

"Pemain hadapan nampak kuat jika anda lihat (barisan pemain) penyerang, mereka semua ada kelebihan berbeza jadi saya berpendapat ia sesuatu yang baik untuk Malaysia.

"Dalam panggilan sebelum ini kita tiada banyak pilihan untuk bahagian hadapan. Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC) kini kembali dan semua orang tahu kualiti yang dia boleh bawa untuk pasukan kebangsaan. Kita ada Paulo Josue (KL City FC) yang prestasinya sangat baik musim ini, malah Romel Morales (Johor Darul Ta’zim),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Sebelum ini, Vicente mengakui berpuas hati dengan 26 pemain yang dipanggil terutama di posisi serangan sekali gus dilihat mampu menjelmakan keputusan positif pada kejohanan itu.

Untuk rekod, pemain bertaraf bintang seperti Arif Aiman Mohd Hanapi (JDT), Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Terengganu FC) turut diserapkan pada panggilan kebangsaan kali ini.

Malaysia akan menentang Filipina pada separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu ini yang juga merupakan debut Vicente sebagai jurulatih pasukan negara selepas dilantik menggantikan Kim Pan Gon yang meletakkan jawatan bulan lepas.

Satu lagi aksi separuh akhir kejohanan itu bakal menyaksikan juara bertahan Tajikistan berdepan Lubnan pada tarikh dan venue sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan