SUKAN > BERITA

Paris 2024: Nur Syaiful Duduki Tempat Keenam

03/09/2024 06:18 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 2 Sept (Bernama) -- Perenang negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli tidak berjaya menjelmakan kilauan pingat dalam acara kegemarannya iaitu 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Nur Syaiful yang beraksi selaku pemenang emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 sekadar menduduki tempat keenam dengan catatan masa 1 minit 46.71 saat (s) di Paris La Defense Arena.

Dmitrii Cherniaev daripada Atlet Paralimpik Neutral merangkul emas dengan catatan 1:32.20s meninggalkan pencabar terdekatanya dari Greece  Antonios Tsapatakis (1:36.16s) untuk pingat perak dan perenang Itali Manuel Mateo Bortuzzo terpaksa berpuas hati dengan gangsa (1:42.52s).

Saringan pagi tadi pula menyaksikan Nur Syaiful mencatat masa 1:45.15s yang merupakan catatan peribadi terbaiknya dengan mengatasi rekod temasya Hangzhou 2022 iaitu 1:46.78s.

Keputusan tersebut membawanya menduduki tempat ketiga pada saringan pertama dan berada pada kedudukan kelima daripada lapan perenang terbaik yang mara ke peringkat akhir.

Ini penampilan kedua final buat perenang Sarawak di pentas final Paris 2024 selepas menamatkan cabaran di tangga keenam dalam acara 100m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dengan 1:16.60s.

Atlet berusia 29 tahun itu akan kembali buat kali terakhir di kolam renang di sini menerusi acara 50m gaya bebas lelaki S5 pada Khamis ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan