SUKAN > BERITA

Paralimpik Paris: Terima Kasih Cheah Liek Hou - Menteri Kabinet

03/09/2024 12:17 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Beberapa menteri Kabinet mengucapkan tahniah kepada jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou yang menyumbang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024 sambil menyifatkannya sebagai hadiah buat negara sempena Hari Kebangsaan ke-67. 

Antaranya Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang mengucapkan terima kasih kepada atlet itu atas sumbangan pingat yang bermakna buat negara. 

“Terima kasih Cheah Liek Hou atas hadiah yang amat bermakna buat Malaysia, lebih-lebih lagi ketika kita baru saja menyambut Hari Kebangsaan ke-67! Tahniah wira negara!!,” katanya menerusi laman X hari ini. 

Dalam perlawanan akhir semalam, Liek Hou memenangi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dengan menewaskan wakil Indonesia Suryo Nugroho 21-13, 21-15 dalam masa 42 minit sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Tokyo 2020. 

Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek masing-masing turut mengucapkan tahniah dan terima kasih atas pencapaian yang sangat membanggakan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pingat yang disumbangkan oleh Liek Hou dan pemenang pingat gangsa acara 100 meter lelaki T44 Eddy Bernard hadiah yang amat berharga buat negara. 

“Syabas dan setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou yang meraih pingat emas pertama Malaysia dalam acara perseorangan lelaki SU5 di Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Kedua-dua pingat ini hadiah amat berharga buat Malaysia terlebih lagi bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024.  Ayuh Team Malaysia, Kita gegarkan Paris 2024! Kita semua #TeamMAS,” katanya. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Liek Hou yang mengulangi kejayaan di temasya Paralimpik Tokyo 2020.

“Pingat Emas pertama Malaysia di #Paralimpik #Paris2024! Power betul Cheah Liek Hou!  #Tokyo2020 dah menang emas, kat Paris pun menang emas lagi!,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mendoakan semoga kejayaan jaguh badminton negara dapat menyuntik semangat atlet lain untuk menjelmakan pingat seterusnya. 

“Tahniah jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou meraih pingat emas pertama Malaysia dalam acara perseorangan lelaki SU5 di Sukan Paralimpik Paris 2024. Syukur Alhamdulillah. Semoga kejayaan terus menjelma untuk pingat seterusnya. Tahniah Cheah Liek Hou,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan