SUKAN > BERITA

KLSCM Sasar Kutipan RM1 Juta Untuk Amal, Catat Rekod Baharu Penyertaan

03/09/2024 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept  (Bernama) -- Selepas mencatat rekod dengan 42,000 penyertaan bagi Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2024, pihak penganjur kini menyasarkan sesuatu yang lebih besar dalam sejarah penganjuran acara larian itu.

Selaku pemilik dan penganjur KLSCM, Dirigo Events berhasrat mengajak komuniti larian dan syarikat korporat untuk turut menyumbang kepada masyarakat menerusi inisiatif amal Run For A Reason (RFAR) yang diperkenalkan sempena acara larian terbesar itu.  

Pengarah Dirigo Events dan Pengarah Projek KLSCM Rainer Biemans berkata tahun ini pihaknya menyasarkan kutipan RM1 juta sekali gus mengatasi kutipan pada 2019 sebanyak RM890,000.

Beliau berkata setakat ini kira-kira RM750,000 berjaya dikumpul daripada pelari dan penaja sejak penyertaan bagi acara itu dibuka secara rasmi pada Mac lepas.

Dana tersebut akan memberi manfaat kepada orgranisasi amal yang terlibat dengan KLSCM 2024 menerusi platform RFAR iaitu Futuremakers by Standard Chartered, Hospis Malaysia, Kechara Soup Kitchen dan yayasan pendidikan Teach for Malaysia (TFM).

“Setakat ini kami telah merekodkan penyertaan terbesar dalam KLSCM dan kami berharap peningkatan jumlah itu boleh membantu melonjakkan kutipan untuk badan-badan amal berkenaan,” kata Biemans dalam kenyataan.

Usaha murni tersebut turut mendapat sokongan moral daripada juara dua kali KLSCM kategori Terbuka Malaysia, S. Poo Vasanthan.

“Jika kali ini saya berjaya mencipta 'hat-trick’, saya akan dermakan sebahagian daripada wang kemenangan tersebut kepada satu daripada badan amal RFAR. Sebagai individu yang prihatin, kita tidak harus lupakan tanggungjawab dan sumbangan kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan sama. 

Sementara itu, seorang daripada peserta yang mendaftar untuk separuh maraton, Dr. Mohd Amirul Husaini Ibne Walid dari Wangsa Maju berkata beliau akan menderma untuk Hospis Malaysia sebagai  penghormatan kepada arwah isterinya Khasnida, yang meninggal dunia tahun lalu akibat kanser.

“Saya dan arwah isteri sering menyertai acara larian bersama-sama dan pemergian beliau membuatkan saya rasa kehilangan termasuk ketika saya mengambil bahagian dalam acara larian. Apabila mendapat tahu Hospis Malaysia merupakan satu daripada penerima RFAR, saya terus mendaftar dan berlari untuk pertubuhan itu yang menjaga isteri saya dengan baik di penghujung hayatnya,” katanya. .

Lebih 12,500 peserta telah mendaftar untuk maraton penuh (42.195 kilometer) iaitu jumlah terbesar sejak penganjuran KLSCM, manakala 13,770 lagi mendaftar untuk separuh maraton (21.0975km) yang juga rekod baharu.

Tahun ini acara larian tersebut akan berlangsung dua hari dengan acara 1km, 2km, 5km and 10km pada 5 Okt, manakala separuh maraton dan penuh pada 6 Okt. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan