SUKAN > BERITA

Paris 2024: Kontinjen Negara Berdepan Tugas Getir Realisasi Impian Emas Paralimpik

04/09/2024 06:35 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 3 Sept (Bernama) -- Berbaki kurang seminggu sebelum temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 melabuhkan tirai, kontinjen negara berdepan tugas getir dalam merealisasikan impian 10 pingat emas keseluruhan sejak membawa pulang masing-masing tiga pada Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Malaysia setakat ini mengumpul satu emas menerusi jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou  yang mempertahankan kejuaraannya di sini selepas menewaskan Suryo Nugroho dari Indonesia, 21-13, 21-15, semalam. 

Jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli yang dalam radar emas kontinjen negara bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara lontar peluru lelaki F20 selepas pulang tangan kosong susulan insiden dibatalkan penyertaannya gara-gara lewat ke bilik panggilan pada edisi lepas di Tokyo, Jepun.

Secara realistiknya, Malaysia boleh menyandarkan harapan kepada atlet lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual)  Datuk Abdul Latif Romly serta jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin yang masing-masing akan beraksi pada Jumaat dan Sabtu ini untuk menambah koleksi emas sambil mengharapkan keajaiban dari atlet lain mencapai sasaran ditetapkan.

Terdahulu,  Muhammad Ziyad meraih pingat perak dengan catatan 17.18 meter (m) di belakang wakil Ukraine Oleksandr Yarovyi yang melakukan rekod dunia baharu 17.61m untuk emas manakala rakan senegaranya Maksym Koval terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 16.99m

Dua atlet olahraga para iaitu Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi dan Muhammad Nazmi Nasri belum dapat menjelmakan kilauan pingat buat kontinjen negara pada edisi kali ini.

Muhammad Ammar Aiman menamatkan saingan di tempat keempat acara 400m lelaki T20 (kecacatan intelektual) dengan catatan 48.38 saat (s) dan Muhammad Nazmi pula kelima acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) dengan lompatan sejauh 6.00m pada percubaan kedua.

Sementara itu, impian gandingan Abdul Razzaq Abdul Rahman-Noor Askuzaimey Mat Salim ke suku akhir beregu campuran BC4 (kecacatan fizikal) lebur selepas menduduki tempat terakhir Kumpulan A di belakang Colombia dan Ukraine.

Hanya dua pasangan teratas setiap kumpulan mara ke suku akhir.

Esok, atlet memanah S Suresh akan turun beraksi dalam pusingan penyingkiran 1/16 acara recurve lelaki berdepan wakil Amerika Syarikat Eric Bennett yang pernah ditewaskannya ketika muncul juara dunia 2019 di Belanda.

Selain emas Liek Hou dan perak oleh Muhammad Ziyad, kontinjen negara juga telah merangkul gangsa menerusi Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal), Ahad lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan