SUKAN > BERITA

ISTAF Cadang Peraturan Baharu Bulatan Servis Untuk Bolehkan Tekong 'Terbang'

04/09/2024 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengemukakan cadangan baharu mengenai peraturan bulatan servis untuk membenarkan tekong mengangkat kaki tidak menyepak atau ‘terbang’ bagi meningkatkan kuasa dan perlaksanaan servis.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata masalah mengenai bulatan servis dan tekong sentiasa berlaku dalam kebanyakan kejohanan sejak 60 tahun lepas dengan pengurus pasukan dan jurulatih selalu menyalahkan pengadil.

“Akhirnya, yang menjadi mangsa ialah pemain. Ini mesti dihentikan demi masa depan sepak takraw, bebas daripada sebarang kontroversi dan menjadikan pemain sebagai mangsa.

“Perubahan peraturan termasuk bulatan servis hendaklah digunakan hanya sebagai penanda tempat tekong mesti meletakkan kakinya semasa melaksanakan servis. Kedua, tidak menjadi kesalahan jika tekong ingin mengangkat atau tidak kaki yang tidak menyepak dalam pelaksanaan servis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Halim berkata antara sebab mempertimbangkan perubahan peraturan termasuk, tekong sentiasa mempunyai objektif utama untuk menyepak bola dengan kuat semasa melakukan servis dalam apa jua bentuk, manakala gaya sepakan selalunya memberi tekanan terhadap cara kaki yang tidak menyepak mesti diletakkan dalam bulatan servis.

“Kaki yang tidak menyepak mesti berada di dalam bulatan servis selepas pengadil mengumumkan mata. Bulatan servis merupakan penanda tempat tekong mesti memulakan servis.

“Kaki yang tidak menyepak akan sentiasa disesuaikan ke tahap mengangkatnya akibat salah balingan oleh pemain apit kanan. Kaki yang tidak menendang akan sentiasa terdedah kepada perlu diseret ketika hendak melakukan servis sehingga timbul kontroversi daripada perbuatan ini,” katanya.

Beliau berkata cadangan itu akan dibentangkan semasa Kongres ISTAF Jumaat ini di Korat, Thailand yang diadakan sempena Kejohanan Piala Raja Thai yang sedang berlangsung untuk negara anggota membincangkannya dan memberi maklum balas dengan Sukan SEA 2025 di Thailand mungkin menjadi kejohanan pertama pelaksanaan peraturan baru itu.

-- BERNAMA

 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan