SUKAN > BERITA

Lubnan Cipta Sejarah Mara Ke Final Dalam Debut Pestabola Merdeka

04/09/2024 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Lubnan berjaya melangkah ke final Pestabola Merdeka 2024 buat kali pertama selepas menumbangkan juara bertahan Tajikistan 1-0 pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Tajikistan bermula garang apabila berjaya melakukan percubaan ke arah gawang Lubnan pada minit ketujuh namun rembatan itu berjaya dihalang pertahanan Lubnan Khalil Khamis.

Gol sulung perlawanan itu hadir pada minit ke-13 oleh Lubnan menerusi pemain tengahnya Jihad Ayoub yang menanduk masuk sepakan sudut Rabih Ataya.

Lubnan hampir meraih gol kedua mereka namun tandukan kapten Kassem El Zein sedikit tersasar pada minit ke-36 sekali gus menyaksikan pasukan dari timur tengah itu mendahului menjelang waktu rehat.

Memasuki separuh masa kedua, kedua-kedua pasukan dilihat saling bertukar serangan ke arah kubu lawan masing-masing tetapi tiada sebarang gol berjaya dihasilkan.

Lubnan berpeluang untuk melebarkan jurang jaringan pada minit ke-89 namun rembatan pemain gantian Gabriel Bitar sedikit tersasar menyaksikan kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat perlawanan. 

Kemenangan itu menyaksikan Lubnan yang dibimbing Rachid Nassar berjaya melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama dan akan bertemu sama ada Malaysia atau Filipina yang akan membuat perhitungan dalam satu lagi aksi separuh akhir di sini malam ini.

Sementara itu, Jurulatih Lubnan Rachid Nassar berpuas hati dengan kemenangan itu dan mengambarkannya sebagai balas dendam, selepas mereka tewas kepada Tajikistan di Piala Asia awal tahun ini.

“Saya puas hati dengan kemenangan ini dan bagaimana pasukan saya bermain. Kami mencuba pemain baharu dan layak ke final, jadi kami telah capai sasaran,” katanya.

Pada masa yang sama, Ketua Jurulatih Tajikistan Gela Shekiladze berkata perlawanan hari ini sukar dan pemainnya berhadapan kesukaran dengan tahap kelembapan yang tinggi di sini.

“Ia suatu yang berbeza tahun ini. Kami bawa 10 pemain baharu untuk pasukan ini dan mereka kesemuanya muda.

“Tetapi saya tidak mahu jadikannya sebagai alasan dan kami perlu belajar daripada kekalahan ini untuk perlawanan kami selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan