SUKAN > BERITA

Pestabola Merdeka 2024: Vicente Puji Komitmen Harimau Malaya Raih Kemenangan

05/09/2024 01:09 AM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Pengendali skuad kebangsaan Pau Marti Vicente yakin Malaysia adalah pasukan kuat dan layak ke final Pestabola Merdeka 2024, selepas menundukkan Filipina 2-1 pada saingan separuh akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam ini.

Jurulatih dari Sepanyol itu turut mengakui bukan mudah untuk menundukkan lawan hingga memaksa anak buahnya bekerja keras bagi memastikan kemenangan.

“Saya rasa ia adalah perlawanan yang sukar. Saya rasa kita layak cumanya pada 10 minit terakhir kita benar-benar bergelut. Pasukan Filipina mempunyai kelebihan fizikal, pemain yang hebat dan ini memaksa kita bekerja keras sebelum mendapat keputusan baik.

“Ia menunjukkan bahawa sangat sukar untuk memenangi perlawanan (malam ini), jadi saya rasa kita harus mengambil aspek positif dan kita kini di final. Kita boleh meraikan malam ini sedikit,”  katanya pada sidang media pascaperlawanan antara Malaysia dan Filipina.

Pada masa sama, Mohammad Syamer Kutty Abba  yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan berkata kejayaan tidak mungkin dicapai tanpa usaha keras rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan semasa sesi latihan. 

“Tiada perlawanan yang kita boleh kata sempurna tetapi kami terus percaya dan bermain dan alhamdulillah kami dapatkan kemenangan malam ini,” kata pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 26 tahun itu.

Pada aksi malam ini, Malaysia ketinggalan 0-1 selepas pemain pertahanan Muhamad Feroz Baharudin menjaringkan gol sendiri pada minit ke-27.

Namun, jaringan oleh pemain tengah Mohammad Syamer Kutty Abba pada minit ke-43 dan sepakan penalti oleh pemain sayap gantian Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-73 berjaya mengembalikan maruah Harimau Malaya di laman sendiri.

Sementara itu, ketua jurulatih Filipina Norman Fegidero bangga dengan semangat juang anak buahnya yang bermain bersungguh-sungguh hingga wisel penamat dibunyikan walaupun mengalami kekalahan tipis.

“Saya sangat gembira dengan semua pemain yang telah memberikan saingan sengit hingga wisel penamat. Saya bangga dengan mereka.

“Rancangan kita untuk menjaringkan gol awal dan kami mempunyai peluang terbaik pada awal permainan. Namun apabila dihadiahkan sepakan penalti, saya akur kerana saya tidak boleh menyangkal keputusan dibuat pengadil,” katanya.

Malaysia akan berdepan Lubnan pada final Pestabola Merdeka 2024 manakala Filipina akan membuat perhitungan dengan Tajikistan bagi penentuan tempat ketiga, di venue sama pada Ahad ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan