SUKAN > BERITA

Renangan Nur Syaiful Warnai Saingan Kontinjen Malaysia Esok

05/09/2024 01:51 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 4 Sept (Bernama) -- Atlet renang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menjadi wakil tunggal kontinjen Malaysia yang akan turun beraksi dalam acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) Sukan Paralimpik Paris 2024, esok.

Ia merupakan aksi  terakhir Muhammad Nur Syafil selepas menyertai tiga acara iaitu 200m gaya bebas lelaki S5, 100m gaya bebas lelaki S5 dan 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal).

Daripada keseluruhan tiga acara disertainya, atlet kelahiran Sarawak itu mara ke final dua kali dengan menduduki tempat keenam 100m gaya bebas lelaki S5 dengan catatan 1 minit 16.60 saat (s) dan juga kedudukan sama dalam 100m kuak dada lelaki SB4 (1:46.71s).

Pencapaian mara ke dua final itu diharapkan dapat membakar semangat perenang berusia 29 tahun untuk sekali lagi ke peringkat akhir acara 50m gaya bebas lelaki S5 dengan beliau dijadual memulakan saingannya dalam saringan kedua.

Hanya lapan perenang terpantas dari dua saringan layak ke final petang esok.

Seandainya layak ke final, Muhammad Nur Syaiful  dijangka berdepan saingan sukar untuk merebut kedudukan podium dengan catatan terbaiknya 34.58s yang dilakukan di Limoges, Perancis pada Jun lepas, sekali gus meletakkannya di kedudukan lapan terbaik dunia.

Sementara itu, suasana suram menyelubungi jaguh memanah para negara, S. Suresh yang tidak terdaya mengekang kebangkitan Mohammad Reza Arab Ameri dari Iran apabila tewas 2-6, sekali gus terkandas di pusingan 1/8 acara recurve terbuka lelaki di Invalides.

Di sebalik kegagalan Suresh, beliau dapat memperbaiki prestasi pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik di sini selepas pulang awal pada saingan penyingkiran 1/16 di Tokyo 2020 oleh atlet Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev dengan keputusan 2-6.

Walaupun tidak berjaya merangkul pingat, pelumba berbasikal lebuh raya para negara Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menampilkan kayuhan bertenaga untuk menduduki tempat kelima  daripada 10 pelumba dalam acara ujian masa individu lelaki C1 (kecacatan fizikal).

Catatan masa 22:27.91s dilakukannya di Clichy-sous-bois menyaksikan Yusof Hafizi muncul pelumba terbaik Asia mengetepikan pelumba China Li Zhangyu yang pernah memenangi emas saingan berbasikal trek acara 3,000m kejar-mengejar individu lelaki C1 dan ujian masa 1,000m lelaki C1-3 (kecacatan fizikal), dengan lawannya berada di kedudukan kesembilan hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan