SUKAN > BERITA

Muhammad Hakim Danish Buru Kelompok Tiga Terbaik - Zulfahmi

05/09/2024 02:06 AM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Pelumba remaja negara Muhammad Hakim Danish Ramli perlu memburu kelompok tiga terbaik dalam pusingan terakhir Piala Red Bull MotoGP Rookies 2024 di Santa Monica-Cella, Itali sekiranya mahu menempah slot ke Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 tahun depan. 

Pengurus pasukan ZK Racing Zulfahmi Khairuddin berkata pelumba berusia 17 tahun itu kini berada di tempat keenam keseluruhan dan kedudukan berkenaan masih belum selamat.

"Sasaran untuk Hakim Danish minggu ini adalah untuk bersaing di kelompok hadapan dan sentiasa kompetitif dari FP1 hingga sesi perlumbaan. Kedudukan keseluruhan Hakim Danish sekarang berada di tempat keenam.

“Tetapi secara realistiknya apabila kita tengok kedudukan sekarang harapan itu tipis. Saya berharap Hakim Danish dapat menunjukkan prestasi tinggi dan berjaya menawan podium bagi kedua-dua perlumbaan,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsi kepada pemberita. 

Beliau berkata pusingan terakhir Redbull MotoGP Rookies Cup musim 2024 bakal menjadi penentu hala tuju buat Muhammad Hakim Danish bagi musim depan. 

Pusingan ketujuh yang akan  berlangsung di litar Misano World Circuit Marco Simoncelli sepanjang 4.23km yang mempunyai 10 selekoh kanan dan enam selekoh kiri pastinya menjanjikan persaingan sengit kerana kedudukan juara keseluruhan masih terbuka.

Muhammad Hakim Danish berada di tangga keenam kedudukan keseluruhan Piala Red Bull MotoGP Rookies 2024 dengan 114 mata dengan dua pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe (202) serta Brian Uriarte (189) mengungguli kedudukan manakala pelumba Argentina Valentin Perrone (161) ketiga. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan