SUKAN > BERITA

Bola Keranjang Piala Agong 2024: Negeri Sembilan Sasar Pertahan Kejuaraan Lelaki, Wanita

05/09/2024 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Pasukan bola keranjang Negeri Sembilan tekad untuk  mempertahankan kejuaraan kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Agong 2024 yang akan berlangsung di Arena Larkin Johor Bahru, Johor pada 14 hingga 22 September ini.

Presiden Persatuan Bola Keranjang Negeri Sembilan Datuk Lee Yuen Fong berkata bagaimanapun ia bukanlah satu tugas mudah buat pasukan negeri itu untuk mempertahankan kejuaraan kerana ketika ini banyak pasukan hebat terutamanya tuan rumah Johor.

Disebabkan itu, beliau berkata segala persiapan kini sedang giat dijalankan oleh barisan jurulatih dan pemain bagi memastikan piala itu kekal menjadi milik negeri berkenaan untuk kali kelima bagi kategori wanita dan ketujuh bagi lelaki secara berturut-turut.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk pertahankan kejuaraan. Semua pasukan memberi tumpuan kepada kami, jadi perlu melakukan persediaan terbaik.

“Tekanan akan sentiasa ada dan kami akan menguruskannya,” kata Lee kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Undian Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Agong di sini hari ini.

Pada kejohanan itu, Negeri Sembilan diundi dalam kumpulan A bersama Perak, Penang 2, MABA Selection dan Angkatan Tentera Malaysia.

Kumpulan B pula menyaksikan naib juara edisi lepas, Johor diundi bersama Sarawak, Penang 1, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Putrajaya.

Mengikut format kejohanan, juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke pusingan separuh akhir.

Bagi kategori wanita pula, sebanyak lima pasukan iaitu Negeri Sembilan, Terengganu, Kuala Lumpur Johor dan Selangor akan mengambil bahagian dengan pasukan yang meraih mata terbanyak dinobatkan sebagai juara.

Sementara itu, Ketua Delegasi Kejohanan Sim Sin Heng berkata beliau menyambut baik penyertaan dua pasukan baharu dalam kategori lelaki pada edisi kali ini.

Justeru beliau berharap jumlah itu akan bertambah pada kejohanan tahun hadapan.

“Mungkin tahun ini ada pasukan negeri tidak bersedia untuk sertai kejohanan ini dan saya berharap mereka akan bersedia tahun depan supaya bilangan pasukan yang bertanding bertambah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan