SUKAN > BERITA

Aifa Tekad Kembali Cemerlang Selepas Pulih Daripada Kecederaan

05/09/2024 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Selepas bergelut untuk kembali pulih daripada beberapa kecederaan dialami, pemain skuasy wanita negara Aifa Azman berazam untuk bangkit dengan prestasi sebenarnya sebelum tahun 2024 melabuhkan tirai.

Beliau berkata beberapa kejohanan berada di dalam radar untuk disertai bagi meraih keputusan positif sekali gus berada di landasan sebenar prestasinya yang satu ketika pernah menghuni ranking ke-21 dunia.

Atlet kelahiran Kedah itu memaklumkan bahawa beliau bagaimanapun tidak mahu terburu-buru menyertai mana-mana kejohanan bagi memastikan beliau bersiap sedia sepenuhnya.

"Aifa akan berehat dari mana-mana kejohanan buat sementara waktu kerana ingin berlatih dan jika diikutkan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lagi. Kalau terus sertai mana-mana kejohanan, ia akan merugikan diri sendiri sebab tidak berlatih untuk kejohanan itu.

“Lagipun selepas Terbuka Malaysia, Aifa ada kecederaan baharu (pinggul). Kecederaan lama (lutut) semakin baik tapi persediaan tidak cukup sebab tidak berlatih kerana lebih fokus kepada rehabilitasi,” katanya semasa ditemui pada Kejohanan Jelajah Challenger 2024 di Pusat Skuasy Jalan Duta di sini hari ini. 

Aifa berkata sekembali daripada Jelajah Challenger, beliau berhasrat mencari momentum kebangkitan pada Terbuka China, Singapura, Malaysia dan Hong Kong serta Kejohanan Berpasukan Wanita Hong Kong pada November dan Disember ini.

Atlet berusia 22 tahun itu dalam masa sama memasang impian muncul juara kejohanan Jelajah Challenger yang sedang berlangsung selepas terkandas di separuh akhir Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz 2024 minggu lepas.

Terdahulu, pada pusingan kedua hari ini Aifa mara ke suku akhir selepas menewaskan wakil India, Urwashi Joshi, 3-0 dalam tempoh 18 minit.

Jelajah Challenger 2024 berlangsung semalam hingga Ahad ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan