SUKAN > BERITA

Ultras Malaya Hampir Pasti Terus Boikot Tapi Stadium Nasional Tidak Akan Kosong

05/09/2024 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Kejayaan Malaysia menempah tempat di perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 tidak boleh menjamin kehadiran semula kumpulan penyokong tegar pasukan bola sepak negara, Ultras Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Ahad ini.

Pandangan itu dilontarkan pemerhati bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli yang percaya kumpulan penyokong tegar itu hampir pasti akan berpegang teguh dengan pendirian dan motif mereka untuk memboikot Pestabola Merdeka.

“Pada pandangan saya serta penyokong yang menghormati perjuangan memboikot ini, mereka pasti akan hilang kepercayaan atas kemampanan, hala tuju dan keikhlasan perjuangan ini jika hanya kerana Harimau Malaya masuk final Pestabola Merdeka, maka mereka akan menarik balik tindakan memboikot.

“Jadi bagi saya, persoalan wajar atau tidak wajar kumpulan penyokong ini untuk kembali ke Stadium Nasional pada aksi final nanti berbalik kepada sejauh manakah kekuatan prinsip perjuangan yang mereka telah tetapkan, hala tujunya dan tempoh masa pemboikotan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah wajar tindakan boikot dihentikan untuk memberi ruang dan sokongan kepada pasukan negara yang akan bertemu Lubnan di pentas final selepas menumpaskan Filipina 2-1 pada aksi separuh akhir semalam.

Boikot dirancang Ultras Malaya itu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pelbagai isu termasuk berkaitan pengurusan pasukan kebangsaan, dakwaan kepincangan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan perlawanan Liga Malaysia.

Sebagai rekod, Ultras Malaya pernah memboikot perlawanan akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 antara Malaysia dan Thailand sebagai solidariti kepada penyokong yang menjadi mangsa kegagalan sistem penjualan tiket aksi final berkenaan.

Bagaimanapun, Pekan percaya Stadium Nasional tidak akan kosong pada aksi final Ahad nanti.

“Kerana jika gabungan kelab penyokong (Ultras Malaya) tidak turun sekalipun, mereka hanya menyumbang antara 10 atau 20 peratus daripada kapasiti sebenar stadium. Jadi masih banyak ruang-ruang yang kosong boleh diisi oleh penyokong-penyokong di luar kategori itu,” katanya.

Pada masa sama, Pekan secara peribadi berpandangan tindakan boikot itu perlu ada dimensinya dan tempoh perjuangan hingga akhirnya nanti motif memboikot itu tercapai seperti yang diperjuangkan.

Sementara itu, penganalisis sukan tempatan Mohd Sadek Mustafa berkata kini terpulang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk segera mengambil langkah perlu memastikan pemain ke-12 skuad Harimau Malaya itu tidak terus ‘merajuk’.

Beliau berkata sesebuah perlawanan seakan kurang serinya tanpa kehadiran Ultras Malaya yang mampu memacu kemenangan pasukan menerusi sorakan padu sepanjang 90 minit permainan.

Justeru Mohd Sadek berkata FAM tidak boleh memandang enteng dan harus sedar akan kepentingan kehadiran peminat bola sepak tanah air yang memberikan sokongan.

"Pada pengamatan saya, kita lihat impak itu akan sama juga (pada final) tapi kehadiran mereka yang agak neutral mungkin sekitar 10,000 hingga 15,000 orang. Tapi di media sosial, rata-ratanya mereka tetap nak memboikot sebagai memberi pengajaran kepada pihak pengurusan FAM sekarang ini.

"Daripada sejarah lepas juga telah membuktikan rakyat Malaysia ini serius dengan apa yang mereka katakan (boikot) mengambil contoh isu Palestin membabitkan barangan Israel sehingga mendatangkan kerugian kepada mereka," katanya kepada Bernama.

Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka sebanyak 12 kali selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2013.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan