SUKAN > BERITA

Malaysia Sasar Tiga Pingat Pada WSC 2024 Di Lyon, Perancis

05/09/2024 06:06 PM

PUTRAJAYA, 5 Sept (Bernama) -- Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat pada Pertandingan WorldSkills 2024 (WSC 2024) yang akan bermula pada 10 Sept ini di Lyon, Perancis.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata Malaysia diwakili 15 belia mahir terpilih untuk membawa nama negara ke satu tahap yang tinggi di persada dunia dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).  

“Besarlah harapan saya dan seluruh rakyat Malaysia agar peserta negara akan mempersembahkan kemahiran yang terbaik bagi mendapatkan pingat emas pertama untuk negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada WSC 2024, Malaysia diwakili oleh 15 orang belia berkemahiran terdiri daripada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam serta Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara yang akan bertanding dalam 14 bidang kemahiran daripada 62 bidang kemahiran dipertandingkan.

Beliau berkata Malaysia diwakili peserta yang cemerlang di dalam pertandingan peringkat kebangsaan dan serantau iaitu Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2023, WorldSkills ASEAN Singapore 2023 dan WorldSkills Asia Abu Dhabi 2023. 

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada peserta-peserta yang telah dipilih bagi mewakili negara ke WSC Lyon 2024. 

“Sesungguhnya anda semua merupakan wira dan wirawati negara yang mempunyai kemahiran cemerlang yang berupaya untuk menaikkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata kerajaan menyediakan insentif khas wang tunai RM40,000 kepada peserta yang memenangi pingat emas pada WSC di Lyon, Perancis pada bulan ini.

Beliau berkata insentif khas kepada peserta itu sebagai tanda sokongan, galakan dan dorongan demi memburu kejayaan yang cemerlang pada WSC 2024.

Pemenang pingat perak pula akan menerima ganjaran RM20,000, manakala pingat gangsa menerima RM10,000, kata Sim.

WSC 2024 akan diadakan 10 hingga 16 Sept ini di Lyon, Perancis.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan