SUKAN > BERITA

Bonnie Gegar Paris

06/09/2024 07:56 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 6 Sept (Bernama) -- Badang negara Bonnie Bunyau Gustin ternyata dalam kelas tersendiri apabila meraih pingat emas dan memecahkan rekod dunia acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg) di Sukan Paralimpik Paris 2024 hari ini.

Di venue Porte de La Chapelle Arena, Bonnie membuktikan beliau sukar digugat dengan melakukan angkat seberat 232kg sekali gus melebur rekod lama miliknya 231kg yang dilakukan pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.

Jumlah angkatannya itu merupakan rekod baharu temasya Sukan Paralimpik mengatasi rekod lama juga milik Bonnie iaitu 228kg pada edisi 2020 di Tokyo, Jepun.

Jaguh dunia kelahiran Serian, Sarawak itu memulakan aksi dengan bergaya apabila mengangkat bebanan 221kg pada percubaan pertamanya, memberi gambaran awal pingat emas sudah pasti dalam genggaman.

Atlet berusia 25 tahun itu terus unggul apabila menyempurnakan percubaan kedua 226kg sebelum mengesahkan angkatan 232kg untuk membawa pulang emas kedua kontinjen Malaysia di Paralimpik Paris 2024.

Hu Peng dari China meraih perak dengan angkatan terbaik 214kg dilakukan pada percubaan terakhir manakala Donato Telesca dari Itali melakukan 213kg untuk gangsa.

Emas pertama kontinjen Malaysia diperoleh menerusi jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou yang menewaskan Suryo Nugroho dari Indonesia, 21-13, 21-15 dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

Muhammad Ziyad Zolkefli menyumbang perak acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) manakala gangsa diperoleh menerusi Eddy Bernard dalam acara 100 meter lelaki T44 (kecacatan fizikal).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan