SUKAN > BERITA

Pemain Selesa Dengan Taktikal Vicente - Safawi Rasid

06/09/2024 08:47 PM

PETALING JAYA, 6 Sept (Bernama) -- Taktikal permainan diterap ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya Pau Marti Vicente berjaya dihadam sebaiknya barisan pemain negara bagi mengharungi aksi final Pestabola Merdeka 2024 menentang Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Ahad ini.

Perkara itu diakui sendiri pemain sayap Muhammad Safawi Rasid yang menyifatkan pasukan kebangsaan memiliki peluang cerah serta sedia menutup tirai saingan edisi ke-43 itu dengan nota kemenangan.

“Bagi saya dan pasukan semua boleh ikut formasi taktikal jadi tiada masalah. Kami hanya ikut sahaja arahan daripada jurulatih.

“Kita lapor diri dengan dia pun tak sampai satu minggu berlatih tapi boleh kata dah ada banyak juga keserasian jadi beri masa lagi dan kita akan jadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Safawi muncul antara watak penting kebangkitan Malaysia menewaskan Filipina 2-1, menyifatkan gol kemenangan dijaringkannya pada saingan Pestabola Merdeka 2024 itu menambah lagi motivasi diri memperaga aksi lebih baik pada aksi final nanti.

“Bagus untuk keyakinan diri saya pada final nanti kalau diturunkan jadi lagi teruja lah untuk bermain,” katanya.

Pada perlawanan akhir Ahad ini, Malaysia di ranking ke-134 dunia akan berdepan Lubnan (113 dunia) yang menewaskan juara bertahan Tajikistan 1-0.

Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka sebanyak 12 kali selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2013.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan