SUKAN > BERITA

Legenda Badminton Bakal Berentap Di Piala Antarabangsa Foo Kok Keong Ke-10 Di Singapura

06/09/2024 09:00 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 6 Sept (Bernama) -- Legenda badminton seperti Taufik Hidayat, Boonsak Ponsana, dan Tony Gunawan bakal berentap di   Kejohanan Antarabangsa Piala Foo Kok Keong (FKK) ke-10 yang akan berlangsung dari 27 hingga 29 September di Stadium Badminton Singapura @ KFF Badminton Arena.

Kejohanan yang dinamakan sempena legenda badminton Malaysia, Datuk Foo Kok Keong ini akan menampilkan pasukan dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Myanmar, Thailand, Australia, Sri Lanka dan India tahun ini.

Menurut penganjur, format kejohanan tahun ini melibatkan lima perlawanan bagi setiap pasukan: satu beregu campuran dan empat beregu lelaki.

Acara individu – yang diperkenalkan dalam edisi kesembilan di Kemboja tahun lepas – juga akan diadakan, dengan pasangan yang berumur gabungan 110 tahun atau lebih boleh bertanding.

Mengimbas kembali kepentingan kejohanan ini, Kok Keong berkata beliau berasa kagum melihat bagaimana Piala FKK berkembang selama bertahun-tahun dan menjadi satu sambutan warisan badminton yang sebenar.

“Saya teruja untuk bertemu rakan-rakan lama dan muka baharu yang akan bertanding di venue baharu yang menakjubkan di Singapura ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Kok Keong akan menyampaikan Piala FKK kepada pemenang pada satu Majlis Makan Malam Gala pada 29 Sept.

Pengasas kejohanan, Alice Soon berkata beliau sangat teruja untuk menyaksikan beberapa pemain terbaik beraksi dalam kejohanan yang pada asalnya dianjurkan untuk menghargai sumbangan dan komitmen Kok Keong serta pemain Malaysia lain yang memenangi Piala Thomas pada 1992.

“Saya tidak menyangka kejohanan ini akan menjadi satu pengalaman monumental dan acara yang memberi impak yang berkekalan dalam arena badminton,” katanya.

Piala Antarabangsa FKK yang diasaskan oleh Soon dan suaminya, Kapten Quek Peng Chai bertujuan untuk menghargai juara-juara badminton terdahulu sambil memupuk persahabatan baharu dan mempromosikan kecergasan sepanjang hayat dalam kalangan pemain senior.

Sejak penganjurannya pada 2012, kejohanan ini telah berkembang daripada disertai pasukan negeri di Malaysia kepada penyertaan peserta dari seluruh rantau Asia Pasifik.

Peminat badminton boleh mendapatkan tiket percuma di fkkcup2024.eventbrite.sg. Mereka juga boleh menonton siaran langsung di saluran YouTube FKK Cup.

Maklumat lanjut dan kemas kini boleh didapati di halaman Instagram rasmi, @FKKCup.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan