SUKAN > BERITA

PARIS 2024: Kontinjen Negara Tidak Rela Kibar Bendera Putih

06/09/2024 11:22 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 6 Sept (Bernama) -- Kontinjen negara seakan belum mahu menyerah kalah bagi menggapai misi sukar menepati sasaran empat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Berbaki kurang tiga hari sebelum Paris 2024 melabuhkan tirainya Ahad ini, ketua kontinjen negara Datuk R. Subramaniam berkata perjuangan kontinjen negara masih belum selesai biarpun Muhammad Ziyad Zolkefli terlepas emas lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) dengan merangkul perak, Selasa lepas.

Malah, beliau optimis kejutan mungkin boleh berlaku oleh atlet powerlifting negara Jong Yee Khie untuk menghadirkan kilauan emas kategori lelaki 107 kilogram (kg) di Porte de La Chapelle Arena pada hari terakhir temasya sukan berprestij tersebut Ahad ini.

“Sekarang sudah sampai separuh jalan (sasaran), kita sudah terlepas emas dari Ziyad tetapi tak mengapa. Kita masih ada Yee Khie mungkin dia boleh cipta kejutan seperti merangkul pingat perak di Tokyo 2020,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini, hari ini.

Turut senada, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mahu barisan atlet yang masih belum beraksi menampilkan semangat juang tinggi demi mencapai sasaran ditetapkan sebelum ini.

“Insyaa-Allah emas ketiga datang dari Datuk Abdul Latif Romly. Saya harap atlet lain khusus Yee Khie akan cuba sebaik mungkin kerana apa yang penting kita berjuang hingga ke akhir,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap agar Kementerian Belia dan Sukan mempertimbangkan imbuhan tambahan kepada jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang memecahkan rekod dunia kategori lelaki 72kg sekali gus menghadiahkan emas kedua Malaysia di Paris 2024.

Terdahulu, Bonnie, membuktikan beliau sukar digugat dengan melakukan angkatan seberat 232kg sekali gus melebur rekod lama miliknya 231kg yang dilakukan pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.

Jumlah angkatannya itu merupakan rekod baharu temasya Sukan Paralimpik mengatasi rekod lama juga milik Bonnie iaitu 228kg pada Tokyo 2020.

Esok, Latif Romly yang merupakan jaguh olahraga para negara akan turun mempertahankan emas lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) di Stade de France.

Emas pertama kontinjen Malaysia diperoleh menerusi jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou yang menewaskan Suryo Nugroho dari Indonesia, 21-13, 21-15 dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

 Kontinjen negara juga turut memperoleh gangsa menerusi seorang lagi atlet olahraga para, Eddy Bernard dalam acara 100 meter lelaki T44 (kecacatan fizikal).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan