SUKAN > BERITA

Paris 2024: Bonnie Serah Baton Kepada Latif Romly Jelma Emas Ketiga Negara

07/09/2024 01:22 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 6 Sept (Bernama) -- Tugas memburu emas ketiga negara pada Sukan Paralimpik Paris 2024 kini digalas jaguh olahraga para Datuk Abdul Latif Romly yang akan turun mempertahankan emas lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) di Stade de France, esok.

Latif Romly dilihat berpotensi besar untuk merangkul hatrik emas acara tersebut sejak mula mendominasinya pada edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Reputasinya sebagai pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64 meter (m) pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia juga membuatkannya beliau pilihan utama untuk sekali lagi merangkul emas pada edisi kali ini.

Bagaimanapun, timbul persoalan sejauh mana lompatan mampu dilakukan juara dunia empat kali dari Perlis itu setelah enam tahun ‘memeram’ rekod dunianya itu.

Berdasarkan ranking tahun ini, tugas atlet berusia 27 tahun juga dilihat agak mencabar memandangkan beliau kini berada di kedudukan kedua dunia dengan catatan 7.30m ketika merangkul emas Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lepas.

Matvei Iakushev yang bertanding atas tiket Atlet Paralimpik Neutral boleh menjadi duri dalam daging buat Latif Romly selepas pesaing terdekatnya itu melakukan 7.41m pada satu kejohanan di Yekaterinburg, Rusia, pada Jun. 

Sementara itu, jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin tidak berdepan masalah untuk menyumbang emas kedua negara di Porte de La Chapelle Arena bagi kategori lelaki 72 kilogram (kg), hari ini.

Bukan sahaja mempertahankan emas, malah Bonnie, membuktikan beliau sukar digugat dengan melakukan angkatan seberat 232kg sekali gus meleburkan rekod lama miliknya 231kg yang dilakukan pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.

Jumlah angkatannya itu merupakan rekod baharu temasya ini mengatasi rekod lama yang juga milik Bonnie iaitu 228kg pada Tokyo 2020.

Dalam pada itu, kegugupan perenang para negara Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan mengakibatkannya beliau tidak berjaya menyerlah untuk ke final acara 100m kuak lentang lelaki S14 (kecacatan intelektual).

Perenang berusia 18 tahun itu yang beraksi dalam saringan tiga berada di kedudukan akhir dengan catatan 1 minit 04.58 saat (s) sekali gus tercorot secara keseluruhan daripada tiga saringan di Paris La Defense Arena.u

Wakil berbasikal lebuh raya negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais-Nurul Suhada Zainal (jurumudi) pula hanya berjaya melengkapkan enam daripada tujuh pusingan secara keseluruhan dalam acara lebuh raya wanita B (kecacatan penglihatan) di Clichy-sous-bois.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan