SUKAN > BERITA

Harimau Malaya Tagih Sokongan Peminat Untuk Tamatkan Kemarau 11 Tahun

07/09/2024 05:27 PM

PETALING JAYA, 7 Sept (Bernama) -- Selepas kali terakhir muncul juara pada 2013, Malaysia berpeluang menamatkan kemarau 11 tahun apabila berdepan Lubnan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Pengendali skuad Harimau Malaya Pau Marti Vicente berkata ketika ini semua pemain bermotivasi tinggi untuk mencipta kemenangan sekali gus memberikan harapan baharu kepada peminat serta penyokong sukan bola sepak tanah air.

"Pemain telah bersama untuk tempoh masa lama dan sudah mengenali antara satu sama lain, selain telah melalui banyak perkara bersama. Mereka layak untuk menjulang piala ini dan itulah yang membakar semangat saya sebagai jurulatih, untuk membimbing mereka mencapai kejayaan di Pestabola Merdeka kali ini.

“Walaupun sukar menjadi sempurna dalam bola sepak, tetapi kami akan berusaha sebaik mungkin mengatur jentera serangan dan pertahanan kerana lawan kami agak sukar. Kita perlu lebih mantap dan agresif apabila mempunyai peluang di depan gol,” katanya pada sidang  media praperlawanan di sini hari ini.

Walaupun menyedari pasukan negara menghadapi kesukaran ketika berdepan pasukan Timur Tengah yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal, Vicente yang juga bekas pembantu kepada Kim Pan Gon berkata anak buahnya sudah mempersiapkan diri mereka dari segi taktikal dan juga mental.

“Dalam tempoh dua tahun lepas, kita telah berdepan lawan yang kuat sama seperti Lubnan. Kita telah berdepan Oman, Jordan dan Syria yang mempunyai gaya permainan sama serta pemain berkualiti.

“Kita belajar daripada itu, jadi kita perlu tunjukkan cara kita menyesuaikan diri dalam situasi ini, dan kadangkala dalam permainan ini sukar untuk meramal apa yang boleh berlaku. Tetapi saya fikir, kita perlu bersedia dari segi taktikal dan mental,” katanya.

Malaysia tidak pernah memenangi sebarang perlawanan dalam enam pertemuan menentang pasukan Timur Tengah seperti Syria, Oman, Jordan dan bahrain dalam pelbagai kejohanan.

Pada masa sama, Vicente menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Sementara itu, kapten pasukan kebangsaan Dion Cools berharap kehadiran penyokong di stadium malam esok akan bertambah sekali gus menyemarakkan lagi semangat para pemain dalam memburu kemenangan di laman sendiri.

“Saya sangat berharap kita mendapat sokongan padu daripada penyokong. Kami sebenarnya memerlukan mereka untuk memberikan tenaga tambahan. Kami berharap semua peminat akan datang menyokong pada hari Ahad, kerana kami sangat perlukan mereka,” katanya.

Cools berkata semua pemain hanya perlu memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan malam esok dan menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk menjulang trofi Pestabola Merdeka, biarpun menyedari pasukan lawan banyak mendapat maklumat mengenai Harimau Malaya.

Terdahulu, Malaysia yang pernah muncul juara Pestabola Merdeka sebanyak 12 kali, melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Filipina 2-1 manakala Lubnan mengejutkan Tajikistan 1-0.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan