SUKAN > BERITA

Lubnan Sifatkan Harimau Malaya Lebih Kuat Kali Ini

07/09/2024 05:47 PM

PETALING JAYA, 7 Sept (Bernama) -- Lubnan menjangkakan Harimau Malaya yang tampil pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 malam esok, lebih kuat berbanding  pertemuan sebelumnya pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019.

Untuk rekod, Malaysia tewas 2-1 kepada The Cedars di bawah kendalian Miodrag Radulovic dalam perlawanan Kumpulan B pusingan ketiga kelayakan Piala Asia di Johor Bahru pada Jun 2017 dan Beirut pada Mac 2018.

Radulovic yang kembali membimbing Lubnan tahun lepas berkata terdapat perubahan besar dalam pasukan kebangsaan yang kini diperkuat dengan kehadiran beberapa pemain naturalisasi.

“Beberapa pemain sangat berharga (dalam setiap posisi), mereka mempunyai kualiti yang mengagumkan dan kelihatan sangat baik menentang Filipina beberapa hari lepas. Esok akan menjadi peluang sangat baik buat saya dan pemain untuk mendapat pengalaman menentang pasukan kuat.

“Saya tunjuk perlawanan (terdahulu) dan analisis video pasukan Malaysia, dengan beberapa pemain naturalisasi mereka kelihatan sangat kuat dan hebat. Pemain mempunyai kualiti, mengagumkan dan perlawanan malam esok pastinya sengit,” katanya pada sidang media praperlawanan akhir di sini hari ini.

Pada masa sama, jurulatih berusia 56 tahun itu berkata beliau telah bersedia untuk menjinakkan Harimau Malaya selepas mengorek 'rahsia’ corak permainan dan beberapa pemain Malaysia menerusi pemainnya yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia.

Beliau juga berharap peminat dapat hadir menyaksikan perlawanan akhir pada 9 malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, pemain tengah Lubnan Gabriel Bitar yakin pasukannya mampu meraih kemenangan dalam penyertaan pertama mereka di Pestabola Merdeka jika para pemain mengekalkan disiplin dan menyusun permainan dengan baik.

“Malaysia mempunyai pemain teknikal dan berkualiti...jika kita lebih tersusun, saya rasa mereka tidak boleh menembusi kita. Jadi kita perlu memastikan benteng pertahanan kita kukuh, dan saya rasa kita akan memenangi perlawanan,” katanya.

Lubnan melangkah ke final selepas mengejutkan Tajikistan 1-0 pada Rabu manakala Malaysia menewaskan Filipinan 2-1.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan