SUKAN > BERITA

Paris 2024: Muhammad Adi Raimie Capai KPI

07/09/2024 07:49 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 7 Sept (Bernama) -- Pelumba berbasikal para negara, Muhammad Adi Raimie Amizazahan mencapai sasaran ditetapkan dengan berada dalam kelompok 20 pelumba teratas pada perlumbaan lebuh raya lelaki C1-3 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Paris 2024 hari ini.

Pelumba berusia 23 tahun yang membuat penampilan pertama di pentas Paralimpik, menamatkan perlumbaan sejauh 71 kilometer di Clichy-sous-bois dengan menduduki tangga ke-16 dengan catatan masa 1 jam 56 minit 23 saat (s).

Seorang lagi wakil negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin pula mengakhiri cabarannya di sini dengan berada di tempat ke-26 dengan catatan masa 2:08:46s.

Pingat emas disambar Fin Graham dari Great Britain (1:43:19s) manakala perak dan gangsa diraih wakil tuan rumah masing-masing oleh Thomas Peyroton-Dartet (1:43:19s) serta Alexandre Leaute (1:43:43s).

Ketua jurulatih berbasikal para negara Johari Mohd Nayan lega melihat Muhammad Adi Raimie berjaya mencapai indeks prestasi utama (KPI) ditetapkan apatah lagi muncul pelumba kedua terbaik dari Asia di belakang wakil Jepun Masaki Fujita 1:56:13s yang memperoleh kedudukan ke-15.

“Dari segi awal saingan kayuhannya kemas cuma pengalaman beliau kurang untuk menempuh baki jarak perlumbaan seterusnya, keseluruhannya dapat menamatkan 20 terbaik dan bagi saya amat memuaskan,” katanya kepada Bernama.

Johari juga mengagumi semangat juang tinggi Yusof Hafizi yang mahu berlumba biarpun demam hari ini.

Beliau percaya Yusof Hafizi mampu menempatkan diri dalam 20 kelompok pelumba terbaik seandainya anak buahnya tidak demam.

“Yusof Hafizi seorang pejuang, dia tak mahu capai status ‘did not start’ (tidak memulakan saingan) dan mahu habiskan perlumbaan, bagi saya persembahannya juga amat baik walau berlumba dalam keadaan demam,” katanya.

Secara keseluruhannya, Johari menyifatkan prestasi para pelumbanya di Paris 2024 menunjukkan peningkatan berbanding Tokyo 2020 dengan ada dalam kalangan mereka membuat rekod peribadi terbaik termasuk Yusof Hafizi bagi acara berbasikal trek di Velodrom Saint-Quentin-En-Yvelines, minggu lepas.

Yusof Hafizi menduduki tempat kelima daripada tujuh pelumba secara keseluruhan bagi saingan kelayakan 3,000 meter (m) kejar-mengejar individu lelaki C1 (kecacatan fizikal) dengan catatan 3:55.254s sekali gus memperbaharui catatan masa peribadi terbaik 4:01.314s pada Kejohanan Trek Berbasikal Para Dunia 2024 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos lepas dijadual berakhir esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan