SUKAN > BERITA

ISTAF Mulakan Prosiding Tatatertib Terhadap Presiden PSTAI Kerana Cemar Reputasi

07/09/2024 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memulakan prosiding tatatertib terhadap Presiden Pilipinas Sepaktakraw Association Inc (PSTAI) Karen Tanchanco-Caballero atas pelbagai pelanggaran perlembagaan dan prosedur disiplin ISTAF.

ISTAF dalam kenyataan hari ini memaklumkan jawatankuasa eksekutif badan induk global itu meluluskan prosiding tatatertib terhadap Tanchanco-Caballero dalam satu mesyuarat di Korat, Thailand pada Jumaat lepas.

Tanchanco-Caballero menghadapi lima pertuduhan berasingan berkaitan tindakan yang dianggap mencemarkan standard etika dan reputasi ISTAF.

"Tuduhan ini termasuk kenyataan awam dan tingkah laku yang didakwa melanggar prinsip tadbir urus dan integriti ISTAF," menurut kenyataan itu yang menambah Tanchanco-Caballero telah digantung daripada semua tugasnya baik pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa, sehingga diberitahu kelak.

"Penggantungan ini bertujuan memelihara integriti prosiding dan mengekalkan standard tinggi yang dijangkakan daripada kepimpinan antarabangsa sepak takraw," menurut kenyataan itu.

ISTAF turut memaklumkan secara rasmi kepada Setiausaha Agung PSTAI Irene Virginia Ng-Tanchanco mengenai pertuduhan terhadap Tanchanco-Caballero selaras dengan komitmen ISTAF terhadap ketelusan dan meminta PSTAI menyatakan pendirian mengenai tindakan presiden persatuan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan