SUKAN > BERITA

Kecederaan Otot Perut Jejas Emas Hatrik Latif Romly

08/09/2024 08:48 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 7 Sept (Bernama) -- Jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly mendedahkan kecederaan otot perut di bahagian kiri sejak Rabu lepas menjejaskan momentumnya untuk memburu emas hatrik acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik 2024.

Latif Romly terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan 7.45 meter (m) pada percubaan ketiga manakala lompatan terakhir Matvei Iakushev sejauh 7.51m menyaksikan Atlet Paralimpik Neutral itu merampas emas darinya yang diraih sejak Rio 2016 diikuti Tokyo 2020.

Katanya beliau mula mengesan kecederaan tersebut sewaktu menjalani latihan di sini sehingga mengakibatkannya sukar bernafas sewaktu membuat lompatan sepanjang aksi di Stade de France hari ini.

“Kalah menang adat pertandingan, apa-apa boleh berlaku walaupun dalam lompatan terakhir sekali pun, saya redha dengan keputusan hari ini.

“Seminggu sebelum pertandingan memang saya yakin, dalam latihan pun pernah buat 7.60m ke atas namun Rabu lepas otot perut kiri tertarik, memang sangat sakit,” katanya sejurus selepas upacara penyampaian pingat.

Atlet berusia 27 tahun itu berkata kecederaan itu sedikit sebanyak menjejaskan keyakinannya selepas menyedari Iakushev berkemampuan memberi tentangan sengit kepadanya di Paris 2024 selepas lawannya menduduki ranking pertama tahun ini.

Iakushev sebelum ini mempunyai catatan musim terbaik dengan melakukan 7.41m pada satu kejohanan di Yekaterinburg, Rusia pada Jun manakala Latif Romly pula berada di tempat kedua dengan catatan 7.30m ketika merangkul emas Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lepas.

Selepas berjaya melengkapkan tiga lompatan awal, prestasi Latif Romly sedikit terjejas dengan tiga percubaan akhirnya dibatalkan.

Juara dunia empat kali itu bagaimanapun yakin lompatan kelimanya melangkaui 7.50m dan ke atas sekiranya tidak dibatalkan.

Dalam pada itu, pemegang rekod dunia sejauh 7.64m di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, tekad untuk kembali bangkit merampas semula emas dari Iakushev pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.

Beliau pada masa sama juga memaklumkan akan melakukan rawatan susulan kecederaan tersebut dengan Institut Sukan Negara setibanya di tanah air.

Biarpun impian emasnya diragut, Latif Romly tetap mahu mendedikasikan pingat peraknya kepada ahli keluarga termasuk isteri kesayangannya Datin Nurul Nabila Farhana Musaidi yang sanggup turun ke Paris 2024 bagi menyokongnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan