SUKAN > BERITA

Jurulatih Sedia Atur Program Baharu Buat Latif

08/09/2024 10:38 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 8 Sept (Bernama) -- Biarpun baru saja menamatkan saingan semalam, jurulatih lompat jauh para negara Shahrul Amri Suhaimi sudah mempunyai perancangan awal bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membantu Datuk Abdul Latif Romly kembali ke podium utama pada edisi 2028 di Los Angeles.

Beliau berkata satu program terbaik perlu dirangka buat anak buahnya itu yang terlepas pingat emas acara lompat jauh lelaki T20 (kecatatan intelektual) setelah dirampas wakil Neutral di Stade de France, Matvei Iakushev.

“Kita sedia maklum atlet yang menang itu masih muda dan baharu namun kita perlu tingkatkan usaha buat pelan terbaik untuk Latif sepanjang empat tahun ini,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini.

Walaupun juara dunia empat kali itu memimpin kedudukan sejak awal saingan namun Shahrul Amri mengakui kejutan boleh berlaku, yang akhirnya menyaksikan Iakushev meragut impian emas hatrik atlet berusia 27 tahun itu menerusi percubaan terakhir 7.51 meter (m).

Abdul Latif melakukan lompatan terbaik 7.45m pada percubaan ketiga, mengatasi catatan terbaik musim 7.30m dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun.

Biarpun meraih perak, Sharul Amri mengakui berbangga dengan kesungguhan dan semangat ditunjukkan Abdul Latif yang berperang dengan kecederaan di bahagian otot kiri perutnya sehingga berjaya menaiki podium kali ini.

"Saya harap Latif segera pulih dari kecederaan. Saya juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan diberikan kepada Latif selama ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan