SUKAN > BERITA

ACT 2024: Speedy Tigers Bangkit Ikat Pakistan

08/09/2024 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan berjaya mengikat pasukan Pakistan dengan keputusan 2-2 dalam aksi pembukaan liga sepusingan atau round robin saingan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, China hari ini.

Pada perlawanan berlangsung di Moqi, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi muncul wira penyelamat buat skuad Speedy Tigers apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-56, sekali gus menyekat hajat Pakistan meraih bekalan selesa.

Pakistan pasukan di ranking ke-16 dunia terlebih dahulu di depan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Sufyan Khan pada minit ke-26 sebelum gol kedua hasil jaringan padang Zikriya Hayat enam minit kemudian.

Tersentak dengan kedudukan itu, anak buah Sarjit Singh bangkit mengasak kubu Pakistan dan ternyata berhasil menyamakan kedudukan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Faizal Saari (37’) serta Nik Muhammad Aiman di akhir babak perlawanan.

Malaysia akan berdepan China pada perlawanan kedua saingan itu esok.

“Kebangkitan yang baik selepas ketinggalan 0-2, pemain dengan karakter yang baik mengejar pasukan Pakistan, tetapi kami tidak boleh selalu ketinggalan begini kerana bukan mudah melakukan kebangkitan pada perlawanan di peringkat antarabangsa.

“Menjelang perlawanan esok, kami perlu memperbaiki hantaran ke dalam ‘D’ pihak lawan. Jika dapat perbaiki kelemahan ini dengan cepat pasti banyak peluang boleh dijelmakan,” menurut kenyataan dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media.

Kejohanan ACT menjadi tugasan ketiga buat Sarjit sejak dilantik selaku pengendali pada Mac lepas, selepas Piala Sultan Azlan Shah dan Kejohanan Piala Negara-Negara pada Jun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan