SUKAN > BERITA

Kim Swee Sentuh Isu Padang Disebalik Kejayaan Malaysia Pada Pestabola Merdeka

09/09/2024 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Di sebalik kemenangan mendebarkan pasukan bola sepak negara pada Pestabola Merdeka 2024 malam tadi, Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Bekas jurulatih Harimau Malaya itu berkata keadaan padang pada aksi final malam tadi boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pemain dan mengurangkan kualiti keseluruhan permainan.

“Tahniah kepada pasukan kebangsaan kita @FAM_Malaysia kerana memenangi Pestabola Merdeka. Bagaimanapun, semasa meraikan kejayaan ini, penting untuk mengatasi situasi padang Stadium Nasional. Ia agak membimbangkan dan tidak menggambarkan piawaian yang sesuai dengan pasukan dan acara yang begitu hebat.

“Keadaan padang yang buruk bukan sahaja menjejaskan keselamatan pemain, tetapi menjejaskan kualiti keseluruhan permainan. Kami berharap pada masa hadapan, langkah-langkah yang sewajarnya akan diambil untuk memastikan padang itu dikekalkan pada standard tertinggi,” katanya yang disiarkannya di platform X hari ini.

Kim Swee berkata pemain Malaysia berhak mendapat persekitaran yang lebih baik untuk mempamerkan kehebatan mereka dan bermain dengan selamat.

Pada perlawanan akhir malam tadi, Malaysia melakar kemenangan 1-0 ke atas Lubnan untuk menjuarai Pestabola Merdeka 2024 hasil jaringan tunggal Romel Morales.

Semasa perlawanan, pemain pertahanan Sabah Dominic Tan terpaksa dikeluarkan pada awal separuh masa kedua selepas mengalami kecederaan, didakwa disebabkan keadaan padang yang teruk.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan