SUKAN > BERITA

Syamer Teruja Raih Trofi Bersama Harimau Malaya

09/09/2024 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Pemain tengah Harimau Malaya Mohammad Syamer Kutty Abba mengakui gembira di atas kejayaan memenangi trofi bersama skuad kebangsaan, pada final Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Mohammad Syamer berkata beliau berharap kejayaan pada edisi ke-43 kejohanan bola sepak tertua di Asia itu, akan menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus cemerlang dalam karier.

“Piala ini sangat bermakna selepas dua kali kalah pada aksi final bersama pasukan kebangsaan di Sukan SEA (Sukan SEA Kuala Lumpur 2017) dan Piala AFF (Piala AFF 2018).

“Piala ini menjadi tonik terbaik untuk diri dan karier saya, perlu berusaha menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang,” kata pemain berusia 26 tahun itu ketika ditemui selepas final Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.

Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian selama 11 tahun untuk menjuarai semula Pestabola Merdeka selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Lubnan, hasil jaringan tunggal pemain naturalisasi Romel Morales.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pendekatan yang digunakan Pau Marti Vicente, Mohammad Syamer mengakui ia sedikit berbeza berbanding pengendali terdahulu Kim Pan Gon.

Pemain Penang FC itu berkata beliau gembira, kerana rakan-rakan sepasukan tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan Vicente.

Kita tengok banyak perkara positif yang boleh ambil daripada perlawanan ini dan pasti ada perkara negatif yang kita perlu baiki. Jadi ini merupakan langkah yang terbaik untuk kita perbaiki selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan