SUKAN > BERITA

SUKIPT 2024: UUM Bolot Kesemua Lapan Pingat Emas Acara Golf

09/09/2024 09:19 PM

SINTOK, 9 Sept (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarah tersendiri apabila membolot kesemua lapan pingat emas dalam acara golf pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024.

Lapan pingat emas tersebut adalah bagi kategori individu gross lelaki, individu gross wanita, individu nett lelaki, individu nett wanita, berpasukan gross lelaki, berpasukan nett lelaki, berpasukan nett wanita dan berpasangan gross wanita.

Dalam kategori individu gross lelaki dan individu gross wanita, UUM mendominasi podium apabila membawa pulang kesemua pingat emas, perak dan gangsa.

Kesemua pemain golf universiti itu terdiri daripada pelajar Akademi Golf Nasional (AGN) UUM yang berentap dalam kategori masing-masing selama empat hari bermula Jumaat lepas.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan menyampaikan hadiah kepada kesemua pemenang sebaik acara berakhir di Kelab Golf Sultan Sallehuddin UUM, di sini petang tadi.

Pengarah AGN UUM Prof Madya Dr Zaheruddin Othman berkata pencapaian pelajar akademi itu menjadi perangsang kepada kontinjen UUM dalam SUKIPT kali ini.

Beliau berkata pada temasya SUKIPT dua tahun lepas, UUM hanya meraih empat emas.

“Kemenangan ini sangat manis kerana UUM menyambut ulang tahun ke-40  dan membuktikan kepada KPT betapa pemilihan UUM sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Golf sangat bertepatan.

“Saya sendiri tidak menjangka UUM boleh memenangi semua emas dalam acara golf kerana pesaing daripada intitusi pendidikan tinggi lain tidak kurang hebatnya,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan