SUKAN > BERITA

Zii Jia Kini Pemain Ketiga Dunia

10/09/2024 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia melonjak satu anak tangga untuk menghuni kedudukan ketiga terbaik dunia berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Kali terakhir pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 berada dalam kelompon tiga terbaik adalah pada 18 Januari tahun lepas, apabila menghuni ranking kedua dunia yang juga kedudukan terbaiknya.

Pemain China, Shi Yuqi kekal mengungguli nombor satu dunia manakala juara Olimpik dua kali Viktor Axelsen dari Denmark di tempat kedua.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong yang tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan sejak Februari lepas setelah menjalani dua pembedahan akibat kecederaan belakang, menghuni kedudukan ke-25, jatuh tiga anak tangga.

Beregu lelaki kekal menjadi sandaran terbaik Malaysia apabila empat pasangan berada dalam kelompok 20 terbaik dunia.

Bagaimanapun, kedudukan gandingan utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik sedikit merosot apabila jatuh daripada tangga ketiga dunia ke kedudukan kelima selepas kehilangan  4,150 mata daripada pencapaian naib juara Terbuka China tahun lepas.

Tiga gandingan lagi iaitu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang kini bergerak secara profesional di kedudukan ke-12, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (17) dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri (19).

Bagi acara beregu wanita pula, Pearly Tan-M Thinaah kekal di tangga kelapan dunia manakala pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak berganjak sebagai kesembilan dunia.

Perseorangan wanita negara Goh Jin Wei pula jatuh dua anak tangga di kedudukan ke-33 dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan