SUKAN > BERITA

Enam Rekod Kebangsaan Sukan Kayak Dipecahkan Di SUKIPT 2024

10/09/2024 08:54 PM

ALOR SETAR, 10 Sept (Bernama) -- Sebanyak enam rekod kebangsaan berjaya dipecahkan dalam acara kayak Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 di Tasik Timah Tasoh, Perlis yang berakhir semalam.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan atlet-atlet yang memecahkan rekod kebangsaan itu layak berkongsi insentif kecemerlangan RM20,000.

"Tiga daripada enam rekod kebangsaan itu sudah berusia 10 tahun dengan Siti Nurqasrina Syahzanani Mustapa terlebih dahulu meleburkannya dalam acara TK2 wanita dengan catatan masa baharu 57.29 saat (s) di peringkat saringan pada 7 Sept (Sabtu) lalu.

"Pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berjaya memadam rekod lama kebangsaan yang dicipta Nur Amirah Anisah Abdul Kadir dari Johor dengan masa 58.435s sewaktu Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis 2014," menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, Nik Afiq Nik Mazli yang mewakili Kolej Polytec berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara TK1 lelaki dengan masa 42.97s di peringkat saringan satu pada Sabtu, sekali gus mengatasi catatan lama 46.857s oleh Muhammad Ridzuan Abdul Aziz di SUKMA Perlis 2014.

Gandingan Marina Muzaffa dan Aisyah Farhanah Azwan dari UiTM turut berjaya menurunkan satu lagi rekod kebangsaan berusia 10 tahun dalam acara K2 wanita menerusi catatan masa 43.19s di peringkat akhir, mengatasi catatan masa dimiliki Syahida Asyiqin Rusli dan Anis Unaizah pada SUKMA Perlis 2014.

"Baki tiga rekod baharu kebangsaan dipecahkan di pentas SUKIPT 2024 menerusi Khairul Naim Zainal dari UiTM dalam acara K1 lelaki dengan catatan masa 37.64s, Syahida Asyiqin Rusli mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) acara K1 wanita (47.17s) dan gandingan UPSI, Hassan Al Basri Ali dan Muhammad Naiem Shahmi Mahusin acara K2 lelaki (36.40s)," menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, kecemerlangan itu membuktikan pentas SUKIPT 2024 berada pada landasan tepat dan dijangka lebih banyak rekod kebangsaan atau catatan masa baharu temasya dalam sukan lain mampu dicipta sebelum temasya melabuhkan tirai Sabtu ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan