SUKAN > BERITA

KBS Mohon Lebih RM10 Juta Bagi Program Podium Atlet Para

12/09/2024 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengemukakan permohonan peruntukan lebih RM10 juta kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi tujuan pemerkasaan pembangunan atlet para negara di bawah Program Podium.

Menterinya Hannah Yeoh berkata peruntukan tersebut diperlukan dengan mengambil kira kepentingan menambah lebih banyak program pendedahan kepada atlet tersebut.

" Atlet para menyatakan  rasa gementar apabila berada  di bawah program tersebut dan mereka memohon untuk ada pendedahan berkaitan. Kami bincang dengan MOF mengenai peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2025 khusus untuk atlet para,”katanya ketika ditemui pada majlis penutup Mini Kejohanan Para Olahraga Program Rimau Emas, di sini hari ini.

Menurutnya peruntukan RM10 juta buat atlet para di bawah Program Podium pada bajet sebelum ini bukanlah tidak mencukupi namun memerlukan penambahan dalam usaha memperkasakannya.

Pada pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukan sebanyak RM40 juta buat keseluruhan Program Podium dengan RM10 juta disalurkan bagi atlet para.

Dalam pada itu, Hannah turut meminta Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) mengadakan lebih banyak program pencarian bakat atlet para di seluruh negara bermula tahun hadapan.

“JBSN mempunyai tanggungjawab lakukan lebih banyak program cari bakat. Kita tidak boleh asyik bergantung kepada empat orang atlet para untuk bawa balik pingat.

“Kita akan kerjasama dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), selepas sudah kenal pasti bakat itu... bajet lebih besar mesti disediakan bagi Program Podium atlet para,’katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan