SUKAN > BERITA

ACT: Speedy Tigers Atasi Jepun 5-4 Untuk Kemenangan Pertama

12/09/2024 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Skuad hoki lelaki negara akhirnya mencatatkan kemenangan pertama pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 selepas mengatasi Jepun 5-4 di Inner Mongolia, China hari ini.

Skuad Speedy Tigers yang diaibkan dengan kekalahan 1-8 oleh India semalam, bangkit meraih kemenangan pada aksi hari ini untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir di Moqi Training Base, Hulunbuir.

Pemain pertahanan, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan berjaya meledak dua gol pukulan sudut penalti masing-masing pada minit ke-12 dan 40. 

Turut menemui sasaran menerusi jaringan padang bagi Malaysia adalah Norsyafiq Sumantri pada minit ke-21, Syarman Mat Tee (47’) dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (48’).

Jepun pula membalas menerusi dua pukulan sudut Ken Nagayoshi masing-masing pada minit ke-24 dan 28 serta gol padang Tsubasa Tanaka (36’) dan Kazumasa Matsumoto (51’).

Skuad Speedy Tigers, yang sebelum ini terikat 2-2 menentang Pakistan dan tewas 2-4 kepada China, akan melengkapkan liga sepusingan menentang Korea Selatan dalam aksi wajib menang pada Sabtu untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.

Empat pasukan teratas akan mara ke separuh akhir pada Isnin manakala dua pasukan tercorot akan beraksi pada penentuan tempat kelima-keenam. 

Mengulas mengenai aksi berkenaan, ketua jurulatih Sarjit Singh berkata kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal kerana beberapa pemain telah mengalami kecederaan. 

Menurutnya pasukannya mempamerkan usaha yang baik di sebalik beberapa kesilapan dan dan kegagalan nmenyudahkan beberapa peluang terhidang.

“Pemain perlu mendapatkan rehat yang cukup esok sebelum perlawanan terakhir bertemu Korea yang merupakan pasukan yang bagus. Kami perlu membuat persiapan yang rapi,” katanya menerusi kenyataan. 

Malaysia berada di kedudukan keempat dengan empat mata manakala Jepun di tempat tercorot dengan satu mata.

Pada edisi 2023, kejohanan yang menampilkan enam pasukan terbaik Asia itu menyaksikan Malaysia meraih gelaran naib juara selepas tewas 3-4 kepada India di perlawanan akhir.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan