SUKAN > BERITA

Pearly-Thinaah Mara Ke Suku Akhir Terbuka Hong Kong

12/09/2024 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Beregu wanita utama negaraPearly Tan-M.Thinaah tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Kejonanan Badminton Terbuka Hong Kong selepas menumpaskan wakil tuan rumah pada pusingan kedua di Kowloon hari ini.

Aksi kejohanan bertaraf Super 500 di Hong Kong Colliseum itu menyaksikan beregu negara tampil sebagai pilihan ketiga kejohanan menyingkirkan  Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan  21-16, 21-14 dalam tempoh 30 minit.

Menanti Pearly-Thinaah pada aksi suku akhir esok ialah beregu pilihan kelapan dari Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi bagi penentuan ke separuh akhir.

Sementara itu, beregu lelaki meningkat naik negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani gagal mengekalkan momentum kecemerlangan apabila tewas di tangan pasangan Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-16, 19-21, 13-21. 

Dalam pada itu, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang turun selaku pilihan keempat kejohanan turut mara ke suku akhir selepas pasangan tuan rumah Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau menarik diri daripada meneruskan perlawanan dengan keputusan 21-4, 4-1. 

Menanti Tang Jie-Ee Wei di suku akhir pasangan China Gua Xin Wa-Chen Fang Hui. 

Satu lagi beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut lolos ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Taiwan Lin Bin-Wen-Lin Chih Chun 21-14,21-15. 

Di suku akhir kelak, gandingan di kedudukan ke-40 dunia itu dijangka bertemu cabaran sukar apabila dijadual menentang gandingan pilihan pertama tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-16, 9-21, 13-21.

Selain Sze Fei-Nur Izzuddin,  dua lagi beregu negara gagal melepasi halangan pusingan kedua dengan Lim Tze Jian-Wong Tien Ci tewas kepada wakil Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 9-21, 21-23 manakala pasangan Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong kalah kepada beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin 21-18, 13-21, 17-21.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan