SUKAN > BERITA

JDT Berpesta Gol Tewaskan Penang FC 5-0

13/09/2024 12:13 AM

ISKANDAR PUTERI, 12 Sept (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan kecemerlangan apabila meratah Penang FC 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Kemenangan Harimau Selatan itu bermula seawal minit ketiga dengan rembatan dalam kotak Oscar Arribas hasil hantaran jauh Natxo Insa untuk menewaskan penjaga gol Sikh Izhan Sikh Azman.

Penyerang baharu JDT Jorge Obregon menggandakan jaringan  pada minit 41 selepas menerima hantaran Arif Aiman Mohd Hanapi dan meletakkan pasukan itu di kedudukan selesa.  

JDT berpeluang menambah jaringan pada minit kecederaan separuh masa pertama apabila dihadiahkan penalti menerusi pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR)  oleh pengadil Razlan Joffri Ali apabila kapten pelawat Rafael Vitor mengasari Obregon, namun tendangan penalti yang diambil Arif Aiman tersasar melepasi palang.

Tidak menunggu lama, babak kedua menyaksikan Obregon sekali lagi menambah jaringan dalam kotak buat JDT selepas bijak mengambil peluang merembat masuk bola muntah yang cuba diselamatkan Sikh Izhan.

Gol keempat JDT hadir apabila pengadil Razlan menghadiahkan penalti selepas semakan VAR mendapati berlaku kekasaran oleh pemain Penang FC Richmond Ankrah terhadap Bergson Da Silva dan gol disempurnakan penyerang kelahiran Brazil itu pada minit ke 68.

Juara bertahan itu melengkapkan jaringan terakhir juga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Arif Aiman selepas semakan VAR mendapati pemain pertahanan Muhammad Adib Abdul Ra’op mengasak Muhammad Syahmi Safari pada minit keempat masa kecederaan.

Selain Obregon, pengendali Harimau Selatan Hector Bidoglio menguji pemain baharu Enzo Lombardo, Iker Undabarrena dan Eddy Israfilov yang membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Malaysia.

Pengendali dari Argentina itu turut mengambil peluang merehatkan pemain utama seperti gandingan Heberty Fernandes, Afiq Fazail dan Jordi Amat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan