SUKAN > BERITA

Akmal Rizal Akur Keputusan Pengadil Hadiah Tiga Sepakan Penalti Kepada JDT

13/09/2024 01:43 PM

ISKANDAR PUTERI, 13 Sept (Bernama) -- Pengendali Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli akur dengan keputusan pengadil menghadiahkan tiga sepakan penalti kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.

Beliau berkata sepakan penalti yang diberikan pengadil Razlan Joffri Ali itu adalah tepat dan tidak boleh dipertikaikan selepas disemak menerusi sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Saya rasa, saya tidak boleh pertikai (penalti) kerana Razlan ialah pengadil terbaik yang ada di Malaysia ketika ini.

“Jadi, saya rasa beliau membuat keputusan tepat. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan pemain-pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam tadi.

JDT menewaskan Penang FC 5-0 menerusi dua sepakan penalti dan tiga gol padang selepas satu sepakan penalti yang diberikan gagal disempurnakan oleh pasukan Harimau Selatan itu.

Akmal Rizal bagaimanapun berkata pujian harus diberikan kepada pemain-pemain yang melakukan beberapa percubaan menarik dan hampir mengejutkan penjaga gawang juara bertahan itu pada babak pertama permainan.

Ia termasuk rembatan jarak jauh penyerang baharu Dylan Christopher Charles Wenzel Halls pada minit ke-19 yang berjaya diselamatkan penjaga gol JDT Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

“Inilah bola sepak, jika kita tidak memanfaatkan peluang menjaringkan gol maka inilah yang berlaku (tewas). Bagaimanapun, kita akan melihat bagaimana perancangan terbaik harus dilakukan untuk perlawanan seterusnya bertemu Negeri Sembilan nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain termasuk empat pemain yang membuat penampilan pertama malam tadi iaitu Jorge Obregon, Enzo Lombardo, Iker Undabarrena dan Eddy Israfilov.

“Pemain-pemain baharu kami membantu pasukan dengan baik dan memahami falsafah dan misi kelab.

“Saya sentiasa gembira dengan persembahan pemain-pemain saya. Keinginan untuk menang dalam perlawanan ini sangat tinggi dan kami mendominasi permainan sejak awal lagi,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan