SUKAN > BERITA

ACT: Speedy Tigers Belum Selamat, Harap Ihsan Jepun

14/09/2024 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Laluan skuad Speedy Tigers ke separuh akhir Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 masih belum selamat biarpun berjaya mengikat Korea Selatan 3-3 di Hulunbuir, China, hari ini.

Pasukan bimbingan Sarjit Singh ketinggalan di minit keenam selepas pemain lawan Yang Jihun memanfaatkan pukulan sudut penalti untuk meletakkan Korea Selatan di hadapan sebelum penyerang Muhamad Azrai Aizad Abu Kamal menyamakan kedudukan dengan jaringan padang pada minit ke-28.

Giliran Malaysia pula berada di depan apabila seorang lagi tonggak serangan Norsyafiq Sumantri menyumbat gol padang pada minit ke-35 namun kedudukan tersebut hanya bertahan tujuh minit apabila Park Cheoleon menjaringkan gol padang untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Ketika ayam tambatan Speedy Tigers, Faizal Saari seakan menyalakan harapan untuk Malaysia memungut tiga mata penuh dengan gol padang pada minit ke-55, Jihun ternyata menjadi duri daging buat skuad kebangsaan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit akhir perlawanan sekali gus membuatkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Malaysia kini berada di tangga keempat dengan lima mata manakala Korea Selatan pula di tangga kedua liga dengan enam mata di belakang pendahulu India yang unggul dengan 12 mata.

Skuad Speedy Tigers terpaksa mengharapkan ihsan pasukan tercorot Jepun untuk menewaskan atau mengikat tuan rumah yang mempunyai kelebihan satu perlawanan dengan tiga mata di tempat kelima.

Empat pasukan teratas akan mara ke separuh akhir pada Isnin manakala dua pasukan tercorot akan beraksi pada penentuan tempat kelima dan keenam. 

Skuad negara memulakan kempen kali ini dengan seri 2-2 menentang Pakistan, tewas 2-4 kepada China, dibelasah India 1-8 dan merakam kemenangan sulung ke atas Jepun 5-4, pada Khamis.

Sementara itu, Sarjit mengakui pasukannya berhak menang sekali gus mempertikaikan keputusan pengadil memberikan pukulan sudut penalti kepada Korea Selatan yang memusnahkan harapan mereka untuk mencatat kemenangan hari ini.

"...kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana pengadil berkuasa di dalam padang dan keputusan mereka muktamad. Kami perlu terima dan jadikan perkara ini sebagai pengajaran untuk masa depan.

"Pasukan akan terus bekerja untuk persediaan perlawanan seterusnya. Semua bergantung kepada perlawanan antara China dan Jepun untuk kami mengetahui kedudukan terakhir kami," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan